SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan upacara mengibarkan bendera Selangor sempena pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor setinggi 120 meter.
Tiang bendera berkenaan diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Struktur tiang bendera terdiri daripada tiang keluli berbentuk tirus dari diameter 2.8 meter di bahagian tapak kepada 1.2 meter di bahagian puncak, mencapai ketinggian keseluruhan 120 meter.
Di sekeliling tapak tiang, elemen seni bina seperti gerbang, panel kekisi berlapis dan ukiran bermotif flora diterapkan bagi mewujudkan kehadiran visual yang kuat dan bermakna.

Saiz bendera Selangor yang dikibarkan pula bersaiz 15 meter x 30 meter dengan berat kira-kira 50 kilogram, diperbuat daripada bahan ‘knitted polymesh‘ berkualiti tinggi yang direka untuk ketahanan angin dan cuaca.
Sultan Sharafuddin bertitah, tiang bendera Selangor dengan ketinggian 120 meter di Dataran Selangor adalah satu lagi simbol kebanggaan negeri Selangor dan menjadi mercu tanda terbaharu bandar raya Shah Alam.
“Ketika mengilhamkan pembinaannya, Beta amat berharap agar tiang bendera ini akan menjadi lambang perpaduan (unity) rakyat negeri Selangor, sekali gus menyemarakkan rasa hormat kepada bendera dan semangat cintakan negeri ini.
“Beta pilih tarikh 8 Mac (hari ini) sebagai tarikh perasmian tiang bendera ini adalah bersempena Hari Keputeraan Ayahanda Beta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
“Almarhum adalah tokoh terpenting dalam membangunkan Shah Alam dan mengisytiharkannya sebagai ibu negeri Selangor pada tahun 1978.
“Beta juga berkenan agar Bendera Malaysia (Jalur Gemilang) dikibarkan di puncak tiang bendera ini 10 hari semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun, sebagai simbol patriotisme dan jalinan perpaduan di peringkat kebangsaan antara Selangor dengan negeri-negeri dalam Malaysia,” titah baginda.
Demikian titah baginda di Majlis Mengibarkan Bendera Negeri Selangor sempena Pembinaan Tiang Bendera Negeri Selangor di Dataran Selangor (The SelangorSquare), Kelab Shah Alam, Seksyen 13 di Shah Alam hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Pada majlis sama, baginda berkenan menandatangani plak perasmian tiang bendera itu dan menyaksikan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Tiang Bendera di Dataran Selangor dinobatkan sebagai tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara daripada MBOR kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.
Sultan Sharafuddin berkenan menamakan projek pembinaan tiang bendera Selangor di Kelab Shah Alam ini secara rasmi sebagai Dataran Selangor atau ‘The Selangor Square‘ satu nama yang mencerminkan keagungan dan identiti negeri Selangor pada 6 Januari lalu.


