Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini kerana ia boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.

Sehubungan itu Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataan berkata, baginda bertitah agar isu penternakan babi dapat dihenti dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak.

Berikut kenyataan beliau berhubung pendirian Sultan Selangor:

 Perdana Menteri Datuk Seri Ibrahim pada 23 Januari 2026 telah mengeluarkan satu kenyataan dengan menyarankan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk membatalkan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor.

 Isu berkaitan ini juga telah dibincangkan oleh  Perdana Menteri semasa menghadap Sultan Selangor pada 8 Februari 2026. Berikutan dengan pertemuan itu, Perdana Menteri di dalam ucapannya pada 9 Februari 2026 telah menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan yang dibantah oleh penduduk tempatan dan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Sekiranya tiada kawasan yang bersesuaian untuk menternak babi di negeri Selangor khususnya maka saranan beliau agar ianya tidak perlu dijalankan.

Sultan Selangor menyambut baik kenyataan Perdana Menteri tersebut. Baginda menegaskan bahawa Baginda tidak berkenan penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di  Selangor.

Ini adalah kerana penternakan babi ini boleh menyebabkan pencemaran udara dengan mengeluarkan bau yang busuk serta boleh mencemarkan sumber air sungai akibat pelepasan najis dan sisa kumbahan babi.

 Sebagai contohnya cadangan penternakan babi di Bukit Tagar daerah Hulu Selangor yang merupakan kawasan pendudukan orang melayu dan kawasan Felda pastinya menerima bantahan daripada penduduk melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.

Di samping itu ia boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkansumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dalam hal ini, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ianya memerlukan perbelanjaan yang besar dan tidak mungkin mampu dibiayai oleh mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri Selangor sahaja.

Tambahan lagi tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.

 Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Negeri Selangor kerana sumber tanah yang terhad dan ditambah pula dengan faktor nilai hartanah yang tinggi di Negeri Selangor yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat.

Justeru, Baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.

Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama Kerajaan Negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah

Negeri Selangor bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan.  Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. Oleh itu semua pihak diseru untuk menghormati titah Baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dankeharmonian masyarakat di negeri ini.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img