PENGERUSI Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Datuk Hanafiah Mat mengaku beliau mengeluarkan surat mengesyorkan cadangan projek baik pulih Jalan Mengabang Telipot di Kampung Tanjung, Baru Rakit, di sini, yang dianggarkan menelan kos RM4.95 juta dilakukan secara runding terus.
Memetik laporan Berita Harian, beliau menjelaskan, surat dikeluarkannya bukan mengandungi arahan kelulusan projek, sebaliknya sekadar syor supaya projek terlibat diberi secara runding terus dan ia mematuhi garis panduan pengendalian sokongan oleh anggota pentadbiran dalam urusan kerajaan.
“Surat cadangan pelaksanaan projek tanpa sebut harga itu dikeluarkan selepas penilaian, termasuk kemampuan dan pengalaman kontraktor dilakukan pelbagai jabatan teknikal dan jabatan kewangan. Kita juga menegaskan tidak pernah mengeluarkan surat sokongan, sebaliknya hanya menandatangani surat cadangan,” katanya.
Beliau memberi penjelasan itu selepas berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu mengenai dua surat berasingan, masing-masing daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Terengganu dan Kelantan melibatkanm permintaan kelulusan rasmi bagi projek tertentu, berbeza dengan surat sokongan yang hanya memohon pertimbangan.
Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, kerja pemulihan dan baik pulih jalan terputus disebabkan hakisan pantai di Jalan Mengabang Telipot itu perlu disegerakan dan projek secara runding terus wajar bagi mengelak runtuhan lebih serius.
“Projek secara runding terus hanya ambil masa antara dua dan tiga bulan untuk kelulusan, berbanding sistem tender yang ambil masa antara lapan hingga 10 bulan. Surat cadangan projek secara runding terus adalah kaedah yang diterima pakai dalam sistem perolehan kerajaan seperti dikeluarkan Kementerian Kewangan,” katanya.
Beliau berkata, kelulusan cadangan secara runding terus itu diberikan kepada kontraktor terpilih selepas penilaian kelayakan dan pengalaman untuk melaksanakan projek berkenaan.
“Kita nafikan laporan laman sosial mendakwa jalan sejauh kira-kira tiga kilometer itu runtuh beberapa kali. Sebenarnya hanya sekali berlaku runtuhan jalan sedang dalam pembinaan, iaitu pada 14 Januari lalu,” katanya turut menegaskan kerajaan tidak mengeluarkan peruntukan tambahan untuk kerja pembaikan dan penambakan runtuhan bagi projek terbabit kerana kerana masih dalam jaminan kontraktor.


