Suspek rempuh pelajar UniSZA alami kemurungan, curi makanan dan wang dari kereta lain

POLIS mengesahkan pemandu kereta Honda Jazz yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan kematian pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Kuala Terengganu semalam menghidap kemurungan.

Lelaki berusia 32 tahun itu telah beberapa kali menjalani rawatan psikiatri bagi penyakit Major Depressive Disorder (MDD) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak Januari 2025.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pemandu lelaki itu kini dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital akibat patah tangan kanan dan luka di beberapa bahagian badan akibat kemalangan itu.

Asisten Komisioner Azli Mohd Noor

“Suspek masih hidup dan sedang dirawat di HSNZ dan perlu menjalani pembedahan kerana kecederaan tangan yang teruk.

“Suspek akan ditahan bagi tujuan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 apabila selesai menjalani pembedahan dan benar-benar sihat,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Dalam kejadian jam 1.55 petang semalam, kereta Perodua Viva dipandu Syakirah Hanan Mazli, 25, dari arah UniSZA menghala ke Bukit Kecil dirempuh sebuah Honda Jazz yang datang dari arah bertentangan, ketika ingin membelok ke kanan setelah lampu isyarat bertukar hijau.

Kemalangan itu mengakibatkan pelajar semester dua Diploma Pascasiswazah Pendidikan di UniSZA itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Dalam pada itu, Azli berkata, siasatan lanjut mendapati sebelum kemalangan, lelaki itu mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai berjumlah RM200 daripada sebuah kereta yang diletakkan di sekitar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada kira-kira 1.45 tengah hari.

Katanya, selepas mencuri barangan dan wang tunai tersebut, suspek masuk kembali ke dalam keretanya dan memecut kenderaan sehingga berlaku kemalangan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Kemajuan.

“Semakan oleh JPJ mendapati kereta Honda Jazz dipandu suspek milik adiknya, bukan kenderaan curi seperti yang didakwa dan ditularkan menerusi media sosial,” katanya.

Sehubungan itu, Azli mengingatkan orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa dan suspek, selain memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh serta telus.

Sementara itu, seorang pemandu mendakwa, suspek sempat mencuri makanan dan menceroboh masuk kereta Honda City miliknya sebelum tragedi itu.

Mohd Hanafi Mamat, 29, mendakwa, suspek berbaju kuning masuk ke dalam keretanya, menghidupkan enjin serta makan makanan sebelum meninggalkan kenderaannya dengan menaiki kereta Honda Jazz.

Dia mendakwa tertinggal kunci dalam kereta namun sewaktu rehat tengah hari, dia kembali ke kenderaannya dan mendapati wang tunai RM200 miliknya juga hilang.

“Saya mengesyaki ada individu memasuki kereta saya kerana terdapat air minuman dan topi pejabat yang ditinggalkan dalam kereta saya,” katanya, lapor BH.

Mohd Hanafi juga tidak pasti apa tujuan suspek masuk ke dalam keretanya namun bernasib baik kenderaannya tidak dilarikan.

“Saya juga tiada kaitan dengan kemalangan itu cuma kehilangan barang peribadi sahaja,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img