POLIS menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat menyamun sepasang kekasih selain memaksa mangsa wanita melakukan aksi tidak senonoh dalam kejadian di Ayer Panas, Setapak pada Selasa lalu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 malam ketika mangsa berusia 19 tahun berada di dalam sebuah kereta bersama teman lelakinya berusia 20 tahun sebelum dihampiri seorang individu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, kedua-dua mangsa ketika itu sedang makan burger di dalam kereta di kawasan parkir sebuah medan selera di Ayer Panas.
“Mangsa dikatakan sedang merakam video ‘mukbang challenge’ sebelum didatangi suspek berusia 24 tahun yang bertindak menegur dan menuduh mereka melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kereta itu.
“Suspek mengambil kad pengenalan kedua-dua mangsa serta memaksa wanita berkenaan untuk melakukan aksi tidak senonoh bersamanya. Suspek kemudian melarikan diri bersama telefon bimbit milik kedua-dua mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Lazim memberitahu, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.23 petang pada Rabu.
Tambah beliau, susulan laporan itu, polis berjaya menahan suspek iaitu seorang lelaki tempatan di Kota Damansara pada Khamis bagi membantu siasatan.
Katanya, suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 serta Seksyen 377C Kanun Keseksaan.


