TITISAN air mata mengiringi kejayaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berjaya menamatkan cabaran Ironman Malaysia 2025 di Langkawi hari ini 12 jam 22 minit sekaligus meraih sumbangan RM1 juta untuk penduduk Parlimen Muar.
Melalui Facebook beliau, Syed Saddiq yang kelihatan keletihan melangkah ke garisan penamat sambil mengibar Jalur Gemilang, sebelum dilihat menangis.

‘’ Lakukan ini untuk Muar. Bantuan kebajikan bernilai RM1 juta berjaya dicapai — cabaran ditunaikan. Ya, saya menangis. Menangis sepuas-puasnya. Tapi semua itu berbaloi.
‘’Berkali-kali rasa nak pitam, seluruh badan kejang, keluar masuk tandas sebab muntah, dan makanan langsung tak dapat dihadam. Tapi saya berjaya.
‘’Rekod peribadi baharu. 2024 — 13 jam 13 minit, 2025 — 12 jam 22 minit, Potong masa 48 minit, walaupun larian kali ini amat teruk,’’ catat beliau.
Ahli Parlimen berusia 33 tahun itu bertekad menamatkan acara sukan lasak terulung negara, Ironman Malaysia 2025 dengan catatan masa bawah 13 jam, ia bagi membolehkan beliau menyahut cabaran syarikat pengeluar fesyen tempatan, Prima Valet yang berjanji memberi RM1 juta jika beliau berjaya menamatkan cabaran dalam tempoh masa tersebut.



