Tahan misi flotilla : Netanyahu ‘dubuk lapar’, tiada perasaan kemanusiaan !

PERDANA Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang merupakan sekutu rapat kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump beberapa minggu lalu telah mengarahkan tentera menggunakan apa cara sekalipun menghalang kapal Global Sumud Flotilla daripada  sampai ke Gaza.

Netanyahu yang merupakan penjenayah perang antarabangsa berikutan kekejamannya ke atas rakyat Palestin telah menyebarkan propaganda dan andaian gila bahawa Global Sumud Flottila mahu melakukan provokasi dan bersekongkol dengan Hamas.

Justeru biarpun sejak awal beratus-ratus kali penganjur GSF menegaskan, ia adalah misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Palestin yang menghadapi kebuluran namun Netanyahu sama sekali tidak mahu menerimanya .

Netanyahu yang disokong Amerika Syarikat tidak mahu sebarang bantuan makanan waima sekeping roti, sebotol susu, segenggam tepung atau sebiji panadolpun  sampai kepada rakyat Palestin. Selain membunuh dengan menggunakan senjata api dan pengeboman, Netanyahu mahu memastikan rakyat Palestin mati kebuluran dan mereka yang sedang dirawat di hospital mati akibat kecederaan.

Netanyahu bagaikan ‘dubuk lapar’ yang sama sekali tidak mempunyai sekelumitpun perasaan kemanusiaan. Atas sebab itulah beliau bersedia melakukan apa sahaja bagi menghapuskan bangsa Palestin di muka bumi Allah SWT ini.

Arahan menyerang flotilla dan menahan aktivis-aktivis yang datang dengan penuh keikhlasan demi menolong rakyat Palestin telah menghancurkan harapan terakhir penduduk Gaza untuk mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan serta keperluan lain.

Netanyahu berasa gembira dan berpesta apabila satu demi satu flotilla menuju ke Gaza dikepung, dipintas dan diserang oleh tentera-tentera Zionis. Beliau seronok dan ketawa besar melihat penduduk Palestin yang menanti ketibaan flotilla di tepi pantai menangis serta pulang dengan hampa tanpa sebarang bantuan makanan.

Beliau kemudiannya akan berkongsi kepada dunia melalui media menyatakan Israel berjaya menghalang barang bantuan daripada ‘sumud Hamas’ (istilah digunakan oleh Kementerian Luar Negeri Israel)  memasuki Gaza demi keselamatan negara Zionis.

Kenyataan itu pastinya disokong oleh Amerika Syarikat yang akan membuat kenyataan menganggap tindakan Netanyahu betul kerana GSF melanggar kedaulatan Israel sedangkan penahanan dilakukan di perairan antarabangsa dan Gaza sedang DIJAJAH Israel.

 

Melihat rakaman anggota tentera menyerbu kapal-kapal GSF, ia bagaikan ‘sekumpulan dubuk’ mencari mangsanya. Mereka pekak untuk mendengar kebenaran, bisu untuk memberi keizinan dan buta untuk melihat nilai kemanusiaan. Mereka  langsung tiada belas ihsan biarpun mengetahui kapal-kapal itu sama sekali tidak membawa senjata waima sebutir peluru pun.

Bagaimana rakus, ganas dan kejamnya Netanyahu mengarahkan mereka membunuh rakyat Palestin termasuklah kanak-kanak,wanita dan orang tua begitulah juga tindakan mereka ke atas GSF yang dianggotai 497 orang daripada 46 buah negara, cuma bezanya mereka belum lagi sampai ke tahap membunuh atau mencederakan.

Namun kerakusan dan keganasan itu tetap ada walaupun tahu peserta-peserta GSF bukannya anggota Hamas atau bersekongkol dengan Hamas, semua itu hanya propaganda Netanyahu dalam memastikan agenda menguasai Palestin tercapai. Mengaitkan dengan Hamas adalah taktik paling jahat Netanyahu gunakan untuk menjajah Palestin dan membunuh penduduknya.

Bayangkanlah di lautan beliau menyekat bantuan, di daratan pada hari yang sama Netanyahu mengarahkan tentera Israel melakukan pengeboman habis-habisan melalui pesawat  membunuh  70 orang rakyat Palestin . Netanyahu bermaharajalela kerana di belakangnya ada Trump yang bersedia membelanya, di hadapan Trump ada ‘tok-tok Arab’ dan pemimpin yang bersedia memaafkan demi urusan perniagaan dengan Israel.

Justeru janganlah berharap sangat apa yang berlaku kepada aktivis GSF akan menjadi alasan untuk tindakan tegas diambil ke atas Netanyahu. Apa lagi yang Israel tak buat? Pemimpin Palestin dan rakyat dibunuh, bantuan makanan dihalang, aktivis kemanusiaan ditahan.

Dunia tidak mampu bertindak  kerana Netanyahu di bawah lindungan  Trump yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin-pemimpin Arab. Kalau mahu mengharapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) – mungkin matahari terbit di ufuk barat pun belum tentu mereka ada kuasa bertindak.

Oleh itu, terimalah hakikat bahawa negara-negara lain tidak boleh berbuat apa-apa kepada Israel yang mempunyai tidak sampai 10 juta orang penduduk  selagi ada Amerika Syarikat dan Trump.

Bayangkanlah apa yang Israel lakukan ke atas GSF benar-benar pelanggaran undang-undang antarabangsa, begitulah juga pembunuhan beramai-ramai ke atas rakyat Palestin tetapi Netanyahu masih bebas, Israel masih bermaharajalela dan akan terus bermaharajalela kerana Pelan Damai 20 Perkara akan ‘menghalalkan’ segala kejahatan yang dilakukan. Bagaimana dengan dunia Arab dan negara Islam…’’itu pelan yang baik’’ kata mereka.

Tetapi dengan apa yang berlaku kepada flotilla menjadi bukti bahawa Pelan Damai 20 Perkara akan menyebabkan kehidupan rakyat Palestin sama sekali tidak akan berubah malah mereka mungkin akan menjadi pelarian di tanah air sendiri.

Semoga semua aktivis GSF dibebaskan dan dapat kembali ke tanah air masing-masing. Mereka mungkin tidak berjaya mencapai misi memasuki Gaza tetapi sekali lagi berjaya membuktikan betapa jahatnya Benjamin Netanyahu dan rejim Zionis yang disokong Amerika Syarikat!



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img