”Takkan nilai kami hanyalah sebuku roti Gardenia”- Atu Zero

PELAWAK terkenal Atu Zero yang merupakan anak kelahiran Sabah mengakui terkilan dengan kenyataan seorang pemimpin politik yang mengumpamakan sokongan rakyat Sabah seolah-olah boleh dibeli dengan sebuku roti Gardenia.

Astro Awani melaporkan, Atu menegaskan rakyat Sabah bukan jenis yang mudah dipengaruhi untuk mengundi sesebuah parti hanya dengan pemberian roti.

“Kami sebagai orang Sabah bukan jenis yang senang dibagi roti macam tu. Kalau orang bagi, kita terima sebab dalam Islam makanan tidak boleh ditolak. Tapi bila sentimen begitu diulang, memang rata-rata orang Sabah akan marah. Takkan nilai kami hanyalah sebuku roti Gardenia,” katanya.

Tambah Atu, penduduk Sabah mempunyai harga diri dan kepelbagaian budaya yang tidak boleh direndahkan dengan perbandingan sedemikian.

“Kami bukan saja roti, kami banyak yang sedap. Suara lagi sedap. Kalau bersin pun bunyi seruling,” katanya berseloroh.

Beliau berkata, walaupun boleh menerima permohonan maaf daripada individu berkenaan, isu tersebut tetap meninggalkan kesan kepada jutaan rakyat Sabah.

“Kalau saya, saya boleh maafkan. Tapi bagaimana pula dengan empat juta lebih rakyat Sabah yang masih terasa dengan benda tu,” katanya.

Atu turut memaklumkan beliau kini berada di Sabah dan merupakan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N2 Tanjung Kapor.

“Saya balik untuk tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi,” katanya.

Terdahulu, seorang pemimpin politik mencetuskan kontroversi apabila dalam sidang DUN sebuah negeri menyatakan bahawa “Orang Sabah itu, kempen dia beri roti Gardenia saja”. Kenyataan itu mengundang kecaman pelbagai pihak kerana dilihat merendah-rendahkan maruah pengundi Sabah.

Pemimpin terbabit kemudian memohon maaf dan menarik balik kenyataannya selepas menerima kritikan daripada pemimpin politik dan rakyat Sabah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img