Oleh Shahbudin Embun
CADANGAN Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) merupakan satu perkembangan politik yang signifikan dalam landskap politik Malaysia pasca-PRU15.
Kenyataan itu menunjukkan keinginan gabungan tersebut untuk menguji kekuatan sebenar parti tanpa bergantung sepenuhnya kepada pakatan politik lain.
Apa yang pasti, strategi ini terus mendapat perhatian dan menjadi topik perbualan pemerhati politik. Ada yang menganggap ini semua hanyalah gimik dan merasakan ia bukanlah keputusan yang tepat. Keputusan seperti ini boleh mengundang pelbagai risiko politik yang kompleks.
Tidak kurang juga memberi komen negatif di media sosial, seolah-olah merasakan idea itu sesuatu yang tidak masuk akal. Bahkan ada juga yang merasakan kenyataan tersebut hanyalah untuk uji pasaran dan melihat sendiri bagaimana respons daripada ahli serta parti yang membentuk BN.
Apapun, tidak ada salahnya jika pihak BN memberi idea seperti ini. Bahkan isu ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru dan banyak kali pernah dibincangkan, tentang apakah perancangan BN pada PRU16.
Mungkin ini sebenarnya strategi yang memaksa semua pihak terlibat mula memikirkan akan berlakunya sebarang kemungkinan. Rasanya kita tidak perlu diingatkan yang politik di Malaysia sentiasa memperlihatkan pelbagai elemen kejutan. Dalam dunia politik, tidak kira di mana pun, 1 campur 1 tidak bermakna jawapannya dua. Fikirkanlah.
Dalam konteks semasa, BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama gabungan utama seperti Pakatan Harapan, BN serta sokongan parti dari Sabah dan Sarawak termasuk Gabungan Parti Sarawak.
Ada pemerhati politik berpendapat, cadangan BN untuk bertanding sekurang-kurangnya 115 kerusi Parlimen dan menuntut kerusi yang tidak dimenangi PH di Semenanjung serta Sabah berpotensi menimbulkan ketegangan dalam kalangan sekutu kerajaan sendiri.
Bagaimana pula jika kita lihat dari perpektif BN. Dalam hal ini, langkah BN untuk bertanding solo boleh dilihat sebagai usaha strategik untuk memulihkan semula sokongan tradisional parti tersebut.
Sejak kekalahan bersejarah BN dalam pilihan raya umum 2018, gabungan itu mengalami penyusutan pengaruh di banyak kawasan.
Dalam pilihan raya berikutnya iaitu PRU15, pada 2022, BN gagal mengembalikan dominasi lama dan terpaksa menyertai kerajaan melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Bertanding secara solo dalam PRU16 boleh dilihat sebagai mekanisme “pengukuran semula” terhadap tahap sokongan akar umbi. Tanpa bergantung kepada rakan gabungan, BN berpeluang menilai sejauh mana jenama politiknya masih relevan dalam kalangan pengundi.
Strategi ini juga memberi ruang kepada BN untuk menstruktur semula naratif politiknya dan memposisikan parti sebagai alternatif lebih jelas berbanding sekadar menjadi komponen dalam kerajaan. Namun persoalan yang bermain di minda semua ialah, adakah BN mampu melakukannya?
Satu lagi dimensi penting ialah pengukuhan identiti parti. Dalam sistem politik yang semakin berpecah dan kompetitif, identiti parti memainkan peranan penting dalam menarik sokongan pengundi.
Bertanding menggunakan logo dacing memberi peluang kepada BN untuk menghidupkan semula simbol politik yang pernah mendominasi politik Malaysia selama beberapa dekad.
Selain itu, strategi solo memberi BN ruang untuk menonjolkan dasar, pendekatan serta kepimpinan sendiri secara lebih jelas.
Bagaimanapun strategi ini tidak bebas daripada risiko. Dalam sistem pilihan raya majoriti mudah seperti di Malaysia, pertembungan pelbagai penjuru sering membawa kepada fenomena undi pecah.
Sekiranya BN bertanding secara meluas di kawasan yang juga ditandingi parti lain dalam kerajaan, ia boleh melemahkan peluang kemenangan blok yang sama.
Dalam konteks ini, kenyataan bahawa rundingan kerusi masih boleh berlaku menunjukkan bahawa strategi “solo” yang dimaksudkan mungkin lebih bersifat simbolik daripada praktikal.
BN mahu mengekalkan identiti sendiri dalam pilihan raya, tetapi pada masa yang sama tetap membuka ruang kerjasama taktikal bagi mengelakkan pertembungan yang merugikan.
Apapun, kita saksikan respon dariapada pelbagai pihak dalam masa dua tiga minggu ini. Tunggu dan lihat.
- Penulis adalah penganalisis politik.


