‘’Tangkap dan humban mereka’’ – Anwar beri amaran jangan cabar undang-undang

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kebebasan bersuara dan hak untuk mengkritik kerajaan tetap dibenarkan, namun sebarang tindakan melanggar undang-undang atau mencetuskan ketegangan kaum akan berdepan tindakan tegas.

Sehubungan itu beliau memberi amaran keras kepada perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) malam ini supaya tidak mencabar undang-undang atau mengganggu keselamatan awam.

“Kita lebih bebas sekarang. Nak bagi pandangan boleh, nak kritik boleh. Tetapi kalau kamu ganggu keselamatan negara atau cuba mencabar undang-undang, saya akan ambil tindakan maksimum.

“Tangkap mereka dan humban mereka. Kamu bukan hakim, kamu bukan polis. Jangan cuba ambil alih tugas polis,” katanya yang turut menyeru semua pihak tidak mengeksploitasi isu sensitif sehingga menjejaskan hubungan antara kaum.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen PKR Selangor di Ampang Jaya hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau juga tidak bersetuju dengan pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut undang-undang dan menegaskan peraturan itu terpakai kepada semua.

“Kalau kita langgar peraturan, hasilnya hanya kebencian dan masalah tidak akan selesai,” katanya.

Mengenai PKR, Anwar berkata, menegaskan parti itu tidak mempunyai ruang untuk mereka yang ‘suka merengek dan berleter’.

Katanya,  mereka memerlukan pemimpin komited memperkukuhkan kedudukan parti itu yang menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

‘’Ini kerana sokongan rakyat bukan mandat kosong atau untuk dibanggakan dengan memegang jawatan sebaliknya amanah besar untuk bekerja. Sanggup bekerja kekal, tak mahu kerja keluar…mesti berani begitu. Tumpu dan bantu kuatkan parti ‘stay’ (kekal). Berleter dan merengek tak habis-habis boleh keluar. Kerja kita masih banyak, letih dengar. Bukan beri pandangan membina,” katanya.

Dalam ucapannya , Anwar yang mengetuai Kerajaan Perpaduan sejak 2022 berkata pentadbirannya mengambil tindakan serius setiap hari terhadap isu besar terutama berkait rasuah dan penyelewengan.

Tegas Anwar , sudah tiba masanya semua pihak bangkit menyokong usaha membersihkan negara daripada rompakan dan rasuah, meskipun menyedari tindakan itu berdepan risiko besar.

“Yang ditangkap itu orang berpengaruh, panglima tentera, menteri, mantan menteri, pengurus besar, tan sri. Apa saya peduli. Yang saya peduli mandat rakyat,” katanya.

Atas dasar itu, beliau mengingatkan ahli supaya fokus kepada perjuangan parti iaitu membela nasib rakyat dan menyelamatkan negara.

Anwar turut menggesa seluruh jentera PKR di Selangor supaya bangkit sebagai satu angkatan dan menghidupkan semula semangat perjuangan di semua peringkat parti.

“Kita jaga Melayu, Cina, India, Orang Asli, hak rakyat Selangor dan hak rakyat Malaysia. Inilah landasan perubahan yang kita mahu bawa,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img