Tarik balik kenyataan ‘Team B’ dalam DAP : MCA sifatkan Zahid liabiliti terbesar BN

NAIB Presiden MCA Tan Teik Cheng berkata, tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menaik balik kenyataan menggambarkan wujud ‘Team B dalam DAP   merupakan penghinaan secara langsung terhadap kredibiliti politik gabungan itu yang telah dibina selama bertahun-tahun.

Katanya, tindakan Ahmad Zahid mendakwa ‘terdapat pasukan B dalam DAP’ kemudian menarik balik kenyataan tersebut secara tergesa-gesa, amat tidak wajar serta langsung tidak melayakkannya untuk terus menerajui BN.

“Jika beliau tidak segera menilai dan memperbetulkan gaya kepimpinannya, BN hanya akan terus kehilangan sokongan rakyat, dan slogan kononnya untuk ‘menghidupkan semula BN’ akan kekal sekadar retorik kosong,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan rakyat memerlukan pemimpin yang bertanggungjawab, berprinsip dan berwawasan, bukan yang sering berubah pendirian dan mencetuskan kontroversi.

“Tindak-tanduknya menimbulkan kemarahan dan kekecewaan dalam kalangan anggota BN dan rakyat; beliau kini menjadi liabiliti terbesar BN,” katanya.

Teik Cheng berkata, setiap kata dan perbuatan Ahmad Zahid mewakili keseluruhan gabungan, ‘bukannya emosi peribadi atau percaturan politik individu’.

“Tingkah laku yang tidak bertanggungjawab seperti ini bukan sahaja merosakkan imej BN, malah menjadikan BN bahan ketawa di peringkat antarabangsa, ‘’ katanya.

Pada Sabtu, ketika menyampaikan ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung UMNO 2025, Ahmad Zahid  mendakwa  pelbagai kenyataan dikeluarkan yang bertentangan daripada kepimpinan utama DAP datangnya daripada ‘Team B’.

Presiden UMNO  itu berkata perkara itu dimaklumkan sendiri kepada beliau oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

“Betul (Naib Presiden UMNO) Datuk Seri Johari Abdul Ghani, (Timbalan Presiden UMNO) Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa… yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.

“Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya (Anthony Loke),” katanya lapor Berita Harian.

Bagaimanapun semalam,  Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mempertikaikan dakwaan Ahmad Zahid Hamidi, bahawa beliau mendedahkan kewujudan “team B” dalam parti komponen PH itu.

Menafikan pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Ahmad Zahid mengenai perkara itu, Loke menegaskan, ahli dan wakil DAP kekal bersepakat sebagai satu pasukan yang dipandu oleh idea bersama serta motivasi yang selari.

“Logik ke? Adakah saya begitu bodoh dari segi politik? Walaupun wujud team B, mengapa saya perlu beritahu orang lain mengenainya, apatah lagi kepada seorang pemimpin parti lain?

“Tidak ada team A, team B atau team C dalam DAP. Yang ada hanya satu — team DAP,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen DAP Selangor di Klang hari ini.

Loke berkata, walaupun sebelum ini dia tidak bersetuju dengan pandangan dibuat seorang lagi pemimpin DAP – Yeo Bee Yin mengenai kes mahkamah Najib Razak – ia bukanlah punca kepada perpecahan parti tersebut.

“Dalam DAP, kita boleh mempunyai pendapat berbeza dan kita akan menguruskan perkara itu secara dalaman, justeru tak ada isu di situ,” tambahnya lapor Malaysiakini.

Lanjutan itu, Ahmad Zahid menarik balik kenyataan berhubung kewujudan ‘Tem A’ dan ‘Team B’ dalam DAP, sekiranya ia menyinggung parti berkenaan.

Malah Pengerusi Barisan Nasional (BN)  berkata, apa yang dimaksudkan adalah bagi menjelaskan terdapat kenyataan-kenyataan bercanggah daripada segelintir pemimpin DAP terhadap isu yang dibangkitkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebelum ini.

“Jika (kenyataan) itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu. Tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan terdapat atau wujud dua kem dalam parti berkenaan.

“Cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil (antara pemimpin DAP) dan ini disebutkan juga oleh Datuk Seri Johari Ghani dan juga Timbalan Presiden (UMNO), Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img