USAHA memperkukuh keterjaminan makanan negara terus diperkasa menerusi pelaksanaan Program Pemuliharaan Kesuburan Tanah Sawah dan Peningkatan Hasil Menggunakan Teknologi MARDI (PKM-KKN) yang diterajui oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dengan kerjasama kerajaan negeri Kedah.
Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, tumpuan utama projek ini adalah penggunaan varieti padi baharu MR 333 yang mempunyai kelebihan daripada segi kepelbagaian varieti bagi mengelakkan amalan mono-varieti, rintangan terhadap penyakit karah tangkai serta sederhana rintang terhadap karah daun.

“Daripada segi potensi hasil, MR 333 yang dibangunkan khusus untuk kawasan jelapang mencatatkan hasil tertinggi sehingga 9.09 tan per hektar dalam ujian varieti setempat (LVT) di Jerteh, Terengganu tidak lama dahulu.
“Selain varieti baharu, projek ini turut mengaplikasikan baja bio yang mengandungi bakteria pengikat nitrogen Bacillus sp. bagi meningkatkan penyerapan nutrien tanaman, memperbaiki struktur tanah, meningkatkan kandungan bahan organik serta menggalakkan aktiviti mikroorganisma tanah.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Plot Projek PKM-KKN yang yang diusahakan oleh tiga orang petani di sebidang tanah berkeluasan 10 hektar di Kampung Lahar Kemeling, Kodiang hari ini.
Lawatan ini bertujuan untuk menyaksikan secara langsung hasil tuaian padi yang merupakan dapatan penting penyelidikan MARDI.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri Kedah, Dzowahir Ab Ghani.
Mohamad Zabawi menambah, projek ini turut memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan Penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB) yang terbukti mampu mengurangkan insiden penyakit sehingga 50 peratus di lapangan.
“Kaedah kawalan yang digunakan adalah selamat, mudah dikendalikan, kos efektif serta tidak memberi kesan fitotoksik ketara kepada tanaman padi,” tambahnya.
Beliau berkata, Projek PKM-KKN Kodiang dijangka mampu meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah tempatan melalui pengurusan ladang yang lebih mampan, sekali gus menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara dan kelestarian sektor padi nasional.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan MARDI dalam memperkukuh inovasi agroteknologi serta menyokong keterjaminan makanan negara,” tambahnya.
Sementara itu, seorang peserta projek, Muhamad Rafirdaus Abu Bakar, 50, berkata, dia memperuntukkan lima hektar daripada 17 hektar tanah sawah miliknya untuk melaksanakan Projek PKM-KKN.
“Saya diperkenalkan dengan agensi MARDI pada tahun 2022 untuk mendapat bantuan bagi meningkatkan hasil padi, ternyata padi MR 333 ini antara varieti padi terbaik pernah saya usahakan dengan tempoh matang yang singkat, sekitar 103 hingga 108 hari selepas ditanam.
“Ciri ini membolehkan pesawah merancang musim penanaman dengan lebih cekap, di samping mengurangkan risiko kerugian akibat cuaca tidak menentu seperti banjir atau kemarau di penghujung musim.
“Dari segi produktiviti, MR 333 berpotensi menghasilkan sehingga hampir 10 tan sehektar apabila diurus dengan amalan agronomi yang baik, ini meletakkan MR 333 setara atau lebih baik berbanding beberapa varieti popular sedia ada, sekali gus membuka ruang kepada peningkatan pendapatan pesawah,” ujarnya.


