TIMBALAN Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintendan Barry William yang cedera tertembak kaki sendiri ketika menyertai pertandingan menembak di Kem Sungai Udang, Melaka, Khamis lalu, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata Barry menerima rawatan di Hospital Melaka dan tahap kesihatannya masih dipantau pihak hospital.
“Keadaan beliau stabil dan sudah menjalani pembedahan kelmarin bagi mengeluarkan peluru dari kaki kanan. Sekiranya keadaan mengizinkan, beliau mungkin dibenarkan keluar hospital hari ini atau esok sebelum berehat di rumahnya,” katanya lapor Berita Harian.
Barry, 47, cedera dalam kejadian kira-kira jam 7.55 pagi ketika menyertai Kejohanan Menembak 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) Konfederasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) Open Level II Tahun 2025 di Lapangsasar Tempur.
Siasatan awal mendapati mangsa tertembak diri sendiri ketika meletakkan senjata api jenis CZ Czechmate 9/19 ke dalam sarung pistol.
Sumber memaklumkan, peluru berkenaan memasuki bahagian betis kaki kanan mangsa dan kejadian itu disahkan oleh pegawai bertugas yang menyelia serta memantau pertandingan berkenaan.


