SELEPAS Gaza, tentera Israel meneruskan agenda mereka membunuh rakyat Palestin apabila melancarkan serangan udara menggegarkan kem pelarian Ain al-Hilweh di Lubnan, menurut sumber keselamatan Lubnan.
Serangan itu mengenai kawasan berhampiran Masjid Khalid ibn al-Walid, salah satu zon paling padat di dalam kem berkenaan.
Laporan awal menyatakan dua letupan berturut-turut berlaku sebelum ambulans bergegas membawa mangsa cedera ke hospital sekitar Sidon. Masjid-masjid di dalam kem menyiarkan pengumuman kecemasan, meminta penduduk mengosongkan jalan bagi memudahkan pergerakan pasukan penyelamat.
Tidak lama kemudian, pengumuman melalui pembesar suara mengesahkan angka kematian dan sekali lagi menggesa kerjasama orang ramai, lapor media di Palestin.
Menurut laporan Lebanon24, peluru berpandu yang digunakan dilepaskan oleh jet pejuang Israel, dipercayai peluru berpandu tepat.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan mengenai potensi berlakunya pembunuhan beramai-ramai dan meningkatkan lagi ketegangan di Ain al-Hilweh, kem pelarian Palestin terbesar dan paling bergolak di Lubnan.

Serangan terbaharu ini berlaku ketika Israel terus melanggar gencatan senjata yang dipersetujui dengan Lubnan. Pelanggaran berterusan itu telah mengorbankan ratusan nyawa sejak perang meletus pada Oktober 2023 dan memuncak kepada konflik berskala penuh pada September 2024, mengorbankan lebih 4,000 orang dan mencederakan sekitar 17,000 yang lain.
Walaupun perjanjian gencatan senjata masih berkuat kuasa, Israel kekal menduduki lima bukit strategik di selatan Lubnan yang ditawan dalam perang terdahulu, selain kawasan lain yang telah didudukinya selama beberapa dekad.
Menjelang Jun 2025, kira-kira 3,700 pelanggaran gencatan senjata direkodkan, menunjukkan betapa rapuhnya situasi keselamatan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel.


