SEPERTI dijangkakan, rejim Zionis sama sekali tidak akan membiarkan rakyat Palestin hidup bebas apabila selepas menghancurkan Gaza dan membunuh lebih 67,000 penduduknya, Israel diketuai pengganas antarabangsa Benjamin Netanyahu mengganas di Tebing Barat pula.
Selain itu mereka juga melindungi peneroka haram Yahudi menyerang rumah dan kebun Zaitun milik penduduk Palestin.
Dalam kejadian terbaru, tentera Israel dilaporkan melepaskan tembakan peluru hidup ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain bola sepak di kawasan sekolah menengah perempuan Al-Rihiya, Tebing Barat.
Tembakan itu menyebabkan Mohammad Bahjat al-Hallaq, 11 tahun, cedera parah dan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sebuah hospital berdekatan.
Tidak lama selepas tembakan itu, unit tentera Israel turut melepaskan gas pemedih mata di bandar tersebut, menyebabkan panik dalam kalangan penduduk serta pelajar di rumah dan sekolah berhampiran.
WAFA melaporkan bahawa kumpulan hak asasi manusia berulang kali mengecam penggunaan peluru hidup oleh Israel terhadap orang awam Palestin, terutamanya kanak-kanak, sambil menyifatkan kejadian-kejadian sebegitu sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak.
Sebelum itu Khamis, seorang pemuda, Mahdi Ahmad, 20 maut selepas ditembak tentera Israel selepas mereka menyerbu bandar Qabatiya, di selatan Jenin.
Saksi berkata tentera Israel telah menempatkan unit infantri di jalan-jalan, menggeledah beberapa rumah, dan menahan seorang penduduk sebelum insiden tembakan berlaku.
Di kawasan lain di Tebing Barat yang diduduki, pertempuran tercetus di beberapa bandar ketika serbuan tentera Israel berterusan, lapor Al Mayadeen.
Di Qabatiya, selatan Jenin, tentera Israel melepaskan tembakan peluru hidup, mencederakan seorang pemuda dan menahan seorang lagi, menurut laporan tersebut.
Di Beit Furik, timur Nablus, pasukan pendudukan menyerbu rumah-rumah penduduk Palestin dan merosakkan harta benda, mencetuskan pertembungan dengan penduduk.
Sementara itu di Qalqilya, tentera Israel memperhebatkan operasi mereka di kampung Kafr Qaddum, menyerbu rumah dan melepaskan gas pemedih mata. Di kawasan Ainun, timur Tubas, tentera turut menjalankan lebih banyak serbuan, menakut-nakutkan dan mengganggu penduduk tempatan.
Di bandar Nablus di utara, tentera Zionis menahan dua pemuda Palestin semasa serbuan awal pagi. Portal berita Al Mayadeen memetik sumber tempatan yang berkata salah seorang pemuda ditembak dengan peluru hidup di dalam rumahnya sebelum ditahan.

Keganasan ke atas penduduk Palestin juga dilakukan oleh peneroka haram Israel menyerang petani Palestin yang sedang memetik buah zaitun pada Jumaat di bandar Aqraba, selatan Nablus, dan Farkha, selatan Salfit, menurut WAFA.
Ketua majlis kampung Farkha, Mustafa Hammad, memberitahu WAFA bahawa seorang petani diserang ketika sedang memetik buah zaitun bersama isteri dan anaknya. Dia dipukul dengan teruk dan dikejarkan ke Hospital Kerajaan Salfit untuk rawatan.
Hammad menambah bahawa peneroka itu telah menghalau keluarga berkenaan dari tanah mereka minggu lalu dan kembali semula minggu ini untuk mengulangi serangan.
Di bandar Silwad, timur Ramallah, peneroka haram turut menyerang petani Palestin dan pemetik buah zaitun pada Jumaat, memaksa mereka meninggalkan tanah mereka.
Rakaman video menunjukkan peneroka menolak seorang pemuda dan menyerang sebuah kenderaan Palestin ketika mereka mengusir para petani dari tanah mereka, lapor WAFA.
Selain itu, peneroka turut membakar tanah milik penduduk Palestin antara kampung Turmus Ayya dan Khirbet Abu Falah, timur Ramallah, menurut laporan agensi tersebut.
Peneroka juga melepaskan ternakan mereka di kawasan pertanian Palestin di kampung al-Mughayyir berhampiran, menyebabkan kerosakan pada pokok dan tanaman.
WAFA melaporkan bahawa Tebing Barat sering menyaksikan serangan berulang oleh peneroka haram yang menyasarkan petani Palestin, khususnya ketika musim menuai zaitun, dan kebanyakan serangan dilakukan di bawah perlindungan tentera Israel.
Peneroka haram pada Jumaat juga menyerang seorang pemuda Palestin di bandar Sebastia, barat laut Nablus, menurut seorang pegawai tempatan yang dipetik WAFA.
Pengarah Pusat Ambulans dan Kecemasan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Nablus, Ameed Ahmad, berkata pasukan ambulans telah membawa seorang pemuda berusia 24 tahun ke hospital selepas diserang oleh peneroka tersebut, lapor WAFA.
UNDILAH |