Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran mendakwa telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah kapal tangki minyak Amerika Syarikat di bahagian utara Teluk Parsi hari ini.
Menurut kenyataan IRGC, serangan tersebut dilakukan oleh anggota Tentera Laut IRGC dan sasaran kini dilaporkan sedang terbakar.
IRGC turut memaklumkan bahawa sebelum ini pihaknya telah memberi amaran bahawa berdasarkan undang-undang dan peraturan antarabangsa, hak pelayaran melalui Selat Hormuz semasa waktu perang akan berada di bawah kawalan Iran.
Dalam kenyataan sama, IRGC menegaskan semua pihak perlu mematuhi peraturan tersebut. Ia turut menambah bahawa kapal tentera dan komersial milik Amerika Syarikat, rejim Zionis, negara-negara Eropah serta sekutu mereka tidak akan dibenarkan melalui Selat Hormuz.
IRGC turut memberi amaran bahawa mana-mana kapal Amerika Syarikat, Israel atau Eropah yang dikesan berada di Selat Hormuz akan menjadi sasaran serangan.
Sementara itu, IRGC bersama Kementerian Perisikan melancarkan operasi pencegahan bersama yang berjaya memusnahkan beberapa pangkalan utama serta simpanan senjata milik kumpulan pengganas pemisah di kawasan sempadan barat negara itu.
Menurut kenyataan rasmi, operasi tersebut berjaya menggagalkan rancangan serangan yang didakwa disokong oleh “musuh Amerika-Zionis” yang cuba mengambil kesempatan daripada keadaan perang di rantau itu untuk menyusup masuk ke Iran dan melancarkan serangan di kawasan bandar serta sempadan.
Serangan terancang oleh pasukan perisikan Iran dan IRGC itu turut memusnahkan infrastruktur penting kumpulan militan, sekali gus menyebabkan kerugian besar kepada kumpulan terbabit.
Kementerian Perisikan Iran memaklumkan bahawa kumpulan pemisah berkenaan, yang didakwa mendapat sokongan pihak asing, merancang untuk menggunakan ketegangan serantau semasa bagi melancarkan serangan yang boleh menggugat kestabilan dalam negara.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan kerjasama komuniti Kurdi tempatan, pasukan keselamatan dan perisikan Iran berjaya menggagalkan percubaan pihak musuh untuk menceroboh Iran.
Pihak berkuasa Iran turut menegaskan bahawa pemantauan ketat terhadap pergerakan di kawasan sempadan akan terus dipertingkatkan bagi menghalang sebarang cubaan pencerobohan pada masa hadapan.


