LEBIH 6,000 rakyat Malaysia yang terperangkap akibat bencana banjir di Selatan Thailand selamat tiba di tanah air sejak operasi menyelamat digerakkan pada Ahad lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi berkenaan dilaksanakan dengan sebahagian besar disumbangkan oleh hampir 20 badan sukarelawan Malaysia yang digerakkan dengan kerjasama Wisma Putra, termasuk 13 pasukan bomba sukarela, selain bantuan Kerajaan Thailand.
“Saya amat terharu melihat keberanian dan kegigihan pasukan sukarelawan kita yang sanggup meredah banjir dan berdepan risiko demi menyelamatkan sesama rakyat Malaysia. Setinggi-tinggi penghargaan dan salute saya buat wira-wira kita,” katanya melalui hantaran di Facebook beliau.

Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Luar, Kedutaan Besar Malaysia di Thailand, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, pihak berkuasa Thailand, pasukan penyelamat tempatan serta pihak pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) atas bantuan dan koordinasi dalam menguruskan 36 pelajar serta dua pensyarah universiti itu yang terkandas di Hatyai.
“Penat lelah dan komitmen semua pihak dalam memastikan keselamatan mereka mencerminkan keprihatinan, kepedulian dan semangat kebersamaan yang begitu tinggi tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang,” kata beliau.
Anwar turut menyeru rakyat untuk terus mendoakan keselamatan sukarelawan serta semua pihak yang sedang meneruskan misi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terperangkap di negara jiran berkenaan.
“Kerajaan melalui Wisma Putra akan terus memantau rapat situasi ini dan menghulurkan bantuan secepat mungkin. Terima kasih semua!,” katanya


