SEORANG kanak-kanak lelaki berusia dua tahun diserahkan kembali kepada keluarga selepas “tertinggal” di sebuah restoran dekat Raub, Pahang hari ini.
Polis Daerah Raub dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan kanak-kanak itu ditemukan oleh seorang lelaki Melayu yang melihatnya sedang berkeliaran di tempat letak kereta di Restoran Azmi Stim Raub.
“Lebih kurang 45 minit lelaki Melayu itu menunggu tetapi tidak ada ahli keluarga yang datang. Kemudian kanak-kanak tersebut dibawa ke Balai Polis Raub,” kata hantaran itu.
Tambahnya, pihak polis telah berjaya menghubungi keluarga kanak-kanak tersebut dan telah hadir di Balai Polis Raub pada jam 4 petang, bagi mengambil anak mereka.
“Ketua Polis Balai Raub telah temu bual ibu-bapa kanak-kanak tersebut yang mana mereka menaiki dua kenderaan dari Johor Bahru, semalam untuk ke Tersan, Dong.
“Selesai urusan Dong, pada jam 12 tengah hari, mereka berhenti makan di Restoran Azmi Stim Raub,” tambahnya.
Keluarga tersebut kemudian meneruskan perjalanan balik ke Johor Bahru.
“Setibanya di Kuala Lumpur, ibu kepada kanak-kanak terbabit telah hubungi kakaknya yang berada dalam kenderaan satu lagi dan bertanyakan tentang keberadaan anaknya kerana menganggap anak mereka bersama kakaknya.
“Berlaku salah faham semasa menaiki kereta sebelum bergerak, barulah ibu-bapa kanak-kanak itu sedar bahawa anak mereka tertinggal di Restoran Azmi Stim, Raub.
“Ibu-bapa kemudian telah menghubungi Restoran Azmi Stim, Raub dan dimaklumkan oleh pekerja restoran anaknya telah diserahkan di Balai Polis Raub.
Pihak polis menasihatkan agar orang awam sentiasa berwaspada dan lebih peka pada anak-anak dan persekitaran agar tidak berlaku kejadian tidak diingini.


