Tiada implikasi kepada kerajaan RUU had tempoh PM gagal lulus – Fahmi

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada 10 tahun boleh dibawa semula pada bila-bila masa.

Menurut Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil, kegagalannya diluluskan semalam tidak memberi sebarang implikasi kepada kerajaan.

“Usul undang-undang ini boleh dibawa semula. Sebenarnya ia tidak ada apa-apa implikasi kepada kerajaan. Malah ada dalam kalangan blok pembangkang dan kerajaan yang tidak mengundi atau tidak hadir, ini merupakan satu signal bahawa Ahli Parlimen mahu Perdana Menteri terus berkhidmat melangkaui 10 tahun.

“Jadi maksudnya pembangkang mahu Perdana Menteri terus berkhidmat. Kita ucapkan terima kasih kepada pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas mengiring Anwar merasmikan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) hari ini.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata semakan yang dibuat bersama Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan Pejabat Ketua Whip mendapati semua Ahli Parlimen blok Pakatan Harapan hadir 100 peratus dan mengundi menyokong.

Bagaimanapun, katanya, terdapat lapan Ahli Parlimen daripada blok kerajaan yang tidak hadir, membabitkan tiga daripada Barisan Nasional (BN), seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), seorang daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), seorang daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan dua Ahli Parlimen bebas.

“Namun arahan Ketua Majlis dan Ketua Whip, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof adalah untuk semua semua Ahli Parlimen Kerajaan hadir dan mungkin mereka perlu memberi penjelasan,” jelasnya.

Beliau turut merasa kesal dengan tindakan 44 Ahli Parlimen Pembangkang yang hadir dalam sesi Dewan Rakyat semalam namun tidak mengundi usul berkenaan.

“Adakah mereka tidak menyokong usaha untuk menyekat atau menghadkan kuasa dan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri? Telah terbukti mereka tidak berhasrat untuk mengenakan apa-apa sekatan.

“Kita kesali perkara ini kerana ini bukan isu kepartian, tetapi isu tata kelola yang baik, prinsip akauntabiliti dan reformasi institusi. Takkan prinsip akauntabiliti ini tidak penting kepada semua Ahli Parlimen,” ujarnya.

Ditanya sama ada Ahli Parlimen yang tidak hadir perlu memberikan penjelasan bertulis, Fahmi berkata, mereka wajar terlebih dahulu menjelaskan kepada rakyat di kawasan masing-masing, selain kepada Ketua Whip parti serta Ketua Whip kerajaan.

Semalam, Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri.

Ia selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sebarang kelulusan RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sekurang-kurangnya 148 sokongan Ahli Parlimen.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img