ARAB Saudi bersama 14 negara Arab dan Islam lain mengecam dua rang undang-undang baharu Israel yang bertujuan menganeksasi (Pengilhakan) Tebing Barat yang diduduki, menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.
Pengilhakan atau aneksasi merupakan tindakan pentadbiran dan konsep undang-undang antarabangsa mengenai pengambilalihan wilayah sesebuah negara berdaulat secara paksa oleh negara lain.
Negara-negara tersebut termasuk Palestin, Qatar, Mesir, Jordan, Kuwait, dan Turkiye serta Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dalam satu kenyataan bersama yang dilaporkan oleh Saudi Press Agency (SPA), menegaskan bahawa “Israel tidak mempunyai sebarang kedaulatan ke atas wilayah Palestin yang diduduki.”
Rang undang-undang tersebut, yang melaksanakan undang-undang Israel di Tebing Barat — langkah yang bersamaan dengan pengilhakan (wilayah yang diinginkan rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada negara merdeka masa depan mereka) — telah mendapat kelulusan awal daripada ahli Parlimen Israel pada Rabu.
Negara-negara berkenaan turut menyambut baik pendapat penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menegaskan bahawa Israel berkewajipan memudahkan penghantaran bantuan ke Gaza dan memastikan rakyat Palestin menerima keperluan asas untuk terus hidup.
Presiden ICJ, Yuji Iwasawa, menyatakan bahawa Israel “berkewajipan untuk bersetuju dan memudahkan program bantuan yang dikendalikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi-agensinya, termasuk UNRWA.”
Israel telah menghalang kemasukan bekalan UNRWA sejak Mac lalu, walaupun agensi itu masih beroperasi di Gaza dengan menyediakan pusat kesihatan, pasukan perubatan bergerak, perkhidmatan kebersihan, dan kelas pembelajaran untuk kanak-kanak. UNRWA menyebut bahawa sebanyak 6,000 buah trak bekalan masih menunggu untuk dibenarkan masuk ke wilayah tersebut.
Dalam kenyataan itu juga, negara-negara berkenaan mengecam tindakan unilateral dan dasar haram Israel, serta menggesa kuasa-kuasa dunia untuk menghentikan langkah tidak sah rejim itu di wilayah Palestin yang diduduki.
“Mereka memberi amaran terhadap kesinambungan dasar dan amalan unilateral serta haram Israel, dan menyeru masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab undang-undang dan moral untuk memaksa Israel menghentikan peningkatan berbahaya serta langkah tidak sahnya di wilayah Palestin yang diduduki, serta menegakkan hak sah rakyat Palestin untuk menubuhkan negara mereka yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SPA.
UNDILAH |



