DATUK Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan tiada keperluan untuk merehatkan Tan Sri Azam Baki sementara siasatan dijalankan terhadap dakwaan yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi meneliti perkara berkenaan secara teliti dan telus tanpa sebarang campur tangan.
“Tadi kita bincang supaya siasatan itu dibuat secara telus dan terbuka supaya dapat kita teliti permasalahan. Saya tidak mahu mengganggu peranan SPRM keseluruhannya kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar membanteras rasuah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.
Menurut Anwar, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar telah memaklumkan supaya perkara itu diserahkan kepada jawatankuasa khas untuk diteliti bersama Peguam Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.
“Kalau ada pihak anggap ini usaha melindungi rasuah, itu tidak benar. Sekarang biar SPRM kaji dahulu. Kita kena tahu sama ada ia serius dan ada asas kukuh,” ujarnya.
Anwar turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak termasuk ahli politik yang didakwa memberi penekanan minimum terhadap isu rasuah, walaupun melibatkan kes berprofil tinggi.
“Saya lihat di Parlimen dan di luar, penekanan terhadap perasuah sangat minimal. Dalam kes-kes besar pun hampir tiada sokongan. Sebab itu saya tegaskan kepada SPRM, jangan peduli pandangan lain. Jalankan tugas dengan berani dan tegas.
“Negara ini mesti diselamatkan daripada angkara durjana rasuah yang merebak menyeluruh,” katanya.
Menjawab soalan sama ada terdapat arahan supaya Azam berehat sepanjang tempoh siasatan, Anwar menegaskan tiada arahan sedemikian buat masa ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri menegaskan proses itu tidak seharusnya mengganggu peranan keseluruhan SPRM dalam membanteras rasuah.
Media hari ini melaporkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang diketuai Shamsul Azri bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.


