POLIS Thailand mengesahkan kes seorang lelaki rakyat Malaysia ditembak mati di pekan Sungai Golok pada 1 November lalu, tidak membabitkan isu hutang berkait dadah.
Sebaliknya kata, Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Prayong Kotsakha, pembunuhan itu dipercayai berpunca daripada pertengkaran mengenai hutang berkait perniagaan pakaian.
Memetik Berita Harian, Prayong memberitahu mangsa berusia 33 tahun disyaki dibunuh selepas gagal melangsaikan hutang mencecah ribuan ringgit kepada suspek yang juga bekas pemain bola sepak Kelantan.
“Mangsa yang berasal dari Pasir Mas, dipercayai enggan membayar hutang kepada suspek sejak tahun lalu.
“Berdasarkan hasil siasatan kami, suspek berusia 31 tahun itu mengaku dia dan mangsa sudah beberapa kali bergaduh berhubung isu terbabit. Pertengkaran mereka bermula sejak tahun lalu tetapi dikatakan berjaya diselesaikan oleh rakan-rakan dan saudara-mara sebelum ini,” katanya.
Namun, Prayong berkata, pergaduhan ketiga berlaku pada awal bulan ini yang mana suspek mengaku menembak mangsa beberapa kali selepas mangsa sekali lagi enggan membayar hutangnya.
Justeru bersandarkan hasil siasatan setakat ini, beliau berkata, polis Thailand menolak dakwaan bahawa insiden pembunuhan itu mempunyai kaitan dengan dadah.
“Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini sedang ditahan dalam penjara di Narathiwat,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, parah ditembak lapan kali selepas dikatakan berlaku pertengkaran kira-kira jam 6.40 petang 1 November lalu.
Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada malam hari sama.
Isteri mangsa yang sedang sarat mengandung dilaporkan berkata, suaminya terkena sebanyak 18 das tembakan, berdasarkan hasil pemeriksaan pihak hospital.
Dalam insiden berkenaan, wanita itu dipetik berkata, beliau dan suaminya didatangi dua individu yang melepaskan tembakan sehingga peluru habis sebelum melarikan diri.
Susulan itu, polis Thailand menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang menyerah diri di balai polis pada 2 November lalu, dan menyita dua pucuk pistol daripada suspek.



