PERIKATAN Nasional (PN) membuat tindakan tepat apabila memutuskan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag tidak lama lagi bagi menggantikan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Ia memandangkan selain tidak bertanding di kerusi Parlimen tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, calon PN, Mazlin Madali hanya mendapat 250 undi dan hilang deposit.
Perebutan di kedua-dua kerusi itu sebelum ini lebih menyaksikan pertarungan antara Barisan Nasional (BN), Warisan dan Bebas.
Untuk kerusi Parlimen, dalam PRU-15, Allahyarham Bung Moktar yang mendapat 16,842 undi memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,330 undi menewaskan calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek yang mendapat 12,512 undi.
Manakala DUN Lamag, Allahyarham Bung Moktar yang mendapat 3,908 undi menang dengan majoriti 153 undi selepas bersaing dengan Calon Bebas, Mohd Ismail Ayob yang memperolehi 3,755 undi.
Berikutan kedua-dua keputusan, ramai melihat peluang PN untuk memenangi kedua-dua kerusi berkenaan amat tipis.
Justeru apabila Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan keputusan PN tersebut yang dibuat pada mesyuarat pimpinan tertinggi PN malam tadi yang berlangsung di ibu negara ramai menganggap ia keputusan tepat.
“Perkara ini kita sudah bincang semalam (malam tadi) dan kita dah ambil keputusan untuk tidak menghantar calon bagi maksud PRK berkenaan. Bagaimanapun, PN akan terus memantau perkembangan PRK dan calon yang akan bertanding dalam PRK itu,” katanya Tuan Ibrahim pada sidang media selepas perbahasan Belanjawan Pahang 2026 di Kuantan hari ini.
Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan mereka akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan PRK Kinabatangan dan DUN Lamag pada 16 Disember ini.
Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata suruhanjaya itu menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya berhubung kekosongan luar jangka bagi kerusi berkenaan susulan kematian Bung Moktar Radin.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital di Sabah pada jam 1.46 pagi 5 Disember lalu, kurang seminggu selepas dipilih sebagai ADUN Lamag untuk penggal kedua dalam pertarungan enam penjuru tersebut.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi di DUN Karambunai kerana memilih calon daripada parti mereka dalam PRN Ke-17.
“Ia membuktikan penerimaan rakyat Sabah kepada prinsip perjuangan dibawa Pas dan PN,” katanya.


