PAS malam ini melakukan tindakan drastik apabila memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu di Perlis.
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataan malam ini berkata, ketiga-tiga mereka yang terhenti keahlian serta-merta sebagai ahli Pas ialah ADUN Chuping Saad Seman, ADUN Bintong Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
‘’Pas akan memaklumkan ketetapan ini secara rasmi kepada Spekar DUN Perlis bagi tujuan memenuhi Perkara 50A (1) (a) (ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022 serta-merta.
Berdasarkan enakmen berkenaan ia bermakna ketiga-tiga kerusi diisytiharkan kosong sebaik sahaja Speaker menerima surat pemakluman daripada Pas.
Berikutan itu satu pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan bagi mengisi kekosongan berkenaan.
Enakmen itu menyatakan:
50a. (1) Tertakluk kepada peruntukan perkara ini, seseorang ahli Dewan Negeri hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik sahaja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Speaker
di bawah Fasal (3) jika—
(a) setelah dipilih ke Dewan Negeri sebagai anggota suatu parti politik—
(i) dia melepaskan keanggotaan parti politik itu; atau
(ii) dia tidak lagi menjadi anggota parti politik itu; atau
(b) setelah dipilih ke Dewan Negeri bukan sebagai anggota suatu parti politik, dia menyertai suatu parti politik sebagai anggota.
(2) Seseorang ahli Dewan Negeri tidak terhenti menjadi ahli Dewan Negeri menurut perkara ini hanya disebabkan oleh—
(a) pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya;
(b) pelepasan keanggotaannya daripada parti politiknya
apabila dipilih sebagai Speaker; atau
(c) pemecatannya daripada keanggotaan dalam parti politiknya.
(3) Apabila Speaker menerima notis bertulis daripada mana-mana ahli Dewan Negeri mengenai berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Negeri di bawah perkara ini, Speaker hendaklah memastikan bahawa berlakunya kekosongan luar jangka itu dan memberitahu Suruhanjaya Pilihan Raya sewajarnya dalam tempoh dua puluh satu hari dari tarikh dia menerima notis bertulis itu.


