TIGA bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis yang tergugur keahlian mereka sebagai ahli Pas selepas didapati bertindak tanpa arahan parti apabila menandatangani akuan berkanun (SD) menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri besar tidak mempunyai ruang untuk merayu.
Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim.
Lujnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Pas dalam kenyataan berkata, jika ahli dipecat melalui peruntukan ‘Keberhentian Ahli’ Fasal 15(1)(b), maka proses rayuan boleh dikemukakan melalui Fasal 15(3) dengan merayu kepada Jawatankuasa Pas Pusat atau Fasal 15(3)(d) rayuan terus kepada Majlis Syura Ulama dalam tempoh 30 hari dari tarikh pemecatan.
“Namun, bagi keberhentian ahli badan perundangan (wakil rakyat) melalui Fasal 15A(1), khususnya para (b) dan (d) untuk tiga ADUN Perlis, tiada peruntukan yang membenarkan rayuan.
“Terdapat perbezaan ketara antara Fasal 15 dan Fasal 15A yang menunjukkan niat sebenar Perlembagaan Pasdigubal sedemikian,” kata lujnah tersebut.
Lujnah itu memaklumkan Majlis Syura Ulama Pas juga tiada bidang kuasa melayan rayuan tiga bekas ADUN itu seperti dilaporkan media.
Ketiga-tiga mereka dikatakan telah mengemukan rayuan rasmi kepada Majlis Syura Ulama Pas dengan menegaskan tindakan mereka berbuat demikian berlandaskan peruntukan sah dalam perlembagaan parti.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nazir Helmi, menyarankan tiga ADUN itu memohon menjadi ahli baharu parti.
“Mengikut Perlembagaan Pas, ahli yang gugur keahlian tidak boleh merayu, kecuali dipecat. Jadi, mana-mana ahli Pas, termasuk tiga ADUN ini, jika mahu bersama Pas, mereka boleh memohon untuk menjadi ahli baharu Pas semula dan Pas Pusat akan menilai sama ada mahu menerima atau menolak permohonan keahlian mereka,” katanya lapor FMT.


