Tiga buah rumah musnah dalam kebakaran di Bukit Mertajam

TIGA  buah rumah teres satu tingkat di Lorong Guar Perahu 29, Taman Guar Perahu, di Bukit Mertajam musnah dalam kejadian kebakaran pada awal pagi ini

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 3.29 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Penanti, Bukit Mertajam dan Bandar Perda bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, salah sebuah rumah mengalami kemusnahan kira-kira 85 peratus, manakala dua buah rumah lagi masing-masing dianggarkan hangus 35 peratus.

“Kebakaran itu turut melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Yaris yang musnah hampir 90 peratus serta tiga motosikal, masing-masing sebuah Honda RS (90 peratus), Honda Wave (10 peratus) dan Suzuki (15 peratus).

“Dalam kejadian sama, seorang lelaki berusia 50 tahun ditemukan berada di luar rumah dalam keadaan separuh sedar sebelum dihantar ke hospital oleh pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

John Sagun berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Mat Radi Mohd Sidek dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.56 pagi sebelum dipadam sepenuhnya pada jam 5.38 pagi.

“Kerja-kerja pemadaman dilakukan secara ofensif dan defensif termasuk kaedah ‘fire break’ bagi mengelakkan api merebak ke rumah berhampiran,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 pagi selepas kerja-kerja ‘overhaul’ selesai dilakukan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img