TIGA kanak-kanak termasuk dua beradik ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam kolam kumbahan berhampiran Flat Sibu Jaya di Sibu, Sarawak petang ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, ketiga-tiga mangsa ialah Macx Devdynne Sharie Merdeka, 12, bersama adiknya, Macx Welwait, 9, dan Daniella Arissa Tayas Ak Maringgai, 10.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.03 petang berhubung kejadian itu.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya tiba di lokasi kejadian pada jam 4.10 petang.
“Sebaik sahaja tiba, terdapat tiga mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki, telah terjatuh ke dalam kolam kumbahan berkenaan.
“Kesemua mangsa telah dibawa naik ke tebing kolam oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Jurucakap PGO itu berkata, ketiga-tiga mangsa didapati tidak sedarkan diri dan sehingga jam 5 petang, pihak bomba masih menunggu pasukan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat pengesahan lanjut.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sementara itu, pihak berkuasa sedang menyiasat bagaimana kesemua kanak-kanak tersebut boleh berada di kawasan kolam kumbahan berkenaan dan sama ada terdapat unsur kecuaian atau kegagalan ciri keselamatan (seperti pagar atau papan tanda amaran) di lokasi tersebut.


