Tiga lapis pembersihan untuk capai misi total clean up Panglima ATM

APABILA  Panglima Angkatan Tentera (PAT) Datuk Malek Razak Sulaiman  menegaskan akan  melaksanakan total clean up (pembersihan keseluruhan) dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) , ia bukan sekadar slogan pentadbiran.

Sebaliknya  ia  adalah kenyataan strategik yang membawa implikasi besar terhadap struktur tadbir urus, budaya organisasi dan kredibiliti ATM secara keseluruhan.

Persoalannya:  adakah ia akan berjaya dan apakah keutamaan sebenar yang perlu didahulukan?

Secara prinsipnya, bidang tugas PAT bukan hanya memimpin operasi ketenteraan tetapi juga memastikan kesiapsiagaan (readiness), disiplin, integriti serta keupayaan tempur berada pada tahap optimum.

Dalam konteks Doktrin Strategi Negara (DSN) dan keperluan keselamatan semasa  termasuk ancaman hibrid, peperangan siber, pencerobohan maritim serta persaingan kuasa besar di rantau ini keupayaan tempur tidak boleh dipisahkan daripada ketelusan dan kecekapan institusi.

Total clean up mesti difahami dalam tiga lapis utama  untuk dilaksanakan iaitu:

Pertama: Pembersihan tadbir urus dan perolehan. Isu integriti dalam sistem perolehan pertahanan sering menjadi polemik awam. Walaupun tidak semua dakwaan berasas, persepsi negatif sahaja sudah cukup merosakkan moral anggota dan keyakinan rakyat.

Jika PAT mahu berjaya, reformasi perlu melibatkan mekanisme audit dalaman yang bebas, pemisahan kuasa yang jelas antara perancang, pelaksana dan pemantau kontrak, serta digitalisasi proses bagi mengurangkan ruang manipulasi. Tanpa pembaikan sistemik, clean up akan dilihat sekadar tindakan kosmetik atau bersifat individu.

Kedua: pembersihan budaya kerja. ATM ialah organisasi hierarki tinggi yang bergantung pada prinsip unity of command. Namun dalam organisasi besar, budaya silo, politik dalaman dan kecenderungan melindungi kepentingan kelompok boleh melemahkan keberkesanan.

PAT perlu menegaskan budaya profesionalisme berasaskan merit bukan jaringan atau senioriti semata-mata. Penilaian prestasi yang objektif, laluan kenaikan pangkat yang telus serta perlindungan kepada pemberi maklumat (whistleblower) adalah prasyarat. Tanpa keberanian membetulkan budaya, perubahan tidak akan berakar.

Ketiga: pembersihan dari sudut kesiapsiagaan aset dan sumber manusia. Realitinya ialah ancaman keselamatan semakin kompleks sedangkan kekangan fiskal negara menuntut keutamaan yang jelas.

Tugas paling utama PAT ialah memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar meningkatkan combat effectiveness. Ini bermakna mengutamakan interoperabiliti tiga perkhidmatan, keupayaan bersama (jointness), penguasaan domain baharu seperti siber dan angkasa serta latihan yang realistik dan berasaskan senario sebenar.

Total clean up tidak boleh mengabaikan soal kecekapan operasi, integriti tanpa keupayaan tempur juga tidak memadai.

Adakah ia akan berjaya? Kejayaan bergantung pada dua faktor kritikal iaitu sokongan politik yang konsisten dan kesediaan kepimpinan tertinggi ATM untuk berdepan risiko dalaman.

Reformasi sering mencetuskan penentangan daripada pihak yang selesa dengan status quo. Jika PAT bertindak tegas tetapi tidak didukung oleh Kementerian Pertahanan dan kepimpinan kerajaan, usaha itu boleh terhenti separuh jalan. Sebaliknya, jika reformasi dilakukan secara menyeluruh dan berperingkat dengan komunikasi strategik yang jelas kepada warga ATM dan rakyat, peluang kejayaan lebih cerah.

Akhirnya, total clean up bukan soal menghukum semata-mata tetapi membina semula kepercayaan. ATM bukan sekadar institusi bersenjata, ia simbol kedaulatan negara.

Tugas paling utama PAT hari ini ialah memastikan angkatan ini kekal profesional, bebas daripada persepsi salah guna kuasa dan benar-benar bersedia menghadapi spektrum ancaman moden. Jika pembersihan itu berteraskan sistem, budaya dan kesiapsiagaan bukan retorik maka ia berpotensi menjadi titik perubahan bersejarah dalam  evolusi pertahanan negara.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img