TIGA lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas lapan pertuduhan berkaitan kekecohan dan pergaduhan di Balai Polis Meru pada Isnin lalu.
Ketiga-tiga tertuduh, P Gopinath, 39; B Kalaiarasan, 38, dan A Magendran, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Kalaiarasan berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.
Gopinath pula berdepan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967 dengan ikat jamin keseluruhan RM13,000.
Magendran didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan dibenarkan diikat jamin RM9,000.
Ketiga-tiga tertuduh memohon untuk dibicarakan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Alfarisi Nawawi dan Ahmad Sulfie Abu Hassan.
Mahkamah menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan kekecohan dan pergaduhan berlaku di Balai Polis Meru dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan sekuriti di sebuah tapak perumahan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, siasatan mendapati semua suspek yang ditahan saling mengenali antara satu sama lain dan mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.


