POLIS menahan tiga remaja lelaki bawah umur yang videonya tular kerana membaling mercun ke dalam rumah seorang warga emas di Taman Senawang Jaya di Seremban pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, kesemua suspek berusia antara 14 hingga 16 tahun itu ditahan di sekitar Seremban, malam tadi.
Beliau berkata, ketiga-tiga mereka telah direman selama empat hari selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Seremban pagi ini.
“Mereka direman bermula hari ini hingga 20 Februari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu kesalahan memiliki atau membakar mercun tanpa kebenaran,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, laporan berkaitan kes baling mercun terbabit diterima polis pada jam 1.45 petang semalam, manakala kejadian berlaku kira-kira jam 8.12 malam pada Sabtu lalu.


