Tiga Zionis tetap akan hapuskan bangsa Palestin

TINDAKAN penjenayah antarabangsa Benjamin Netanyahu mengarahkan Lintasan Rafah terus ditutup sekaligus akan menyebabkan bantuan tidak dapat memasuki  Gaza bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Sebaliknya yang mengejutkan ialah apabila masyarakat dunia boleh mempercayai pelan damai yang diaturkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) akan menamatkan perang Gaza seperti mana diumumkan oleh Donald Trump pada 13 Oktober lalu.

Sememangnya sejak awal lagi sesiapa juga yang mengikuti perang Gaza sehinggalah kononnya gencatan senjata dicapai akan memahami bahawa rejim Zionis sama sekali tidak akan sewenang-wenangnya menamatkan perang tersebut.

Perang Gaza adalah agenda Netanyahu dengan sokongan dua lagi anggota Kabinet paling jahat Israel iaitu Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich untuk menghapuskan bangsa Palestin.

Ketiga-tiga mereka sudah lama merancang perkara tersebut waima sekalipun tidak berlaku serangan 7 Oktober 2023 Hamas ke atas Israel. Serangan itu hanyalah alasan ketiga-tiga mereka yang dianggap ‘dajal’ oleh rakyat Palestin untuk menyempurnakan agenda penghapusan etnik di Gaza.

Atas sebab itulah bagi melaksanakan misi tersebut Netanyahu memberi semangat kepada tentera Israel bahawa Hamas dan rakyat Palestin adalah keturunan Amalek – satu kaum purba yang dianggap musuh Israel sejak dahulu kala lagi.

Justeru itulah ketiga-tiga mereka tidak pernah mempedulikan soal pelanggaran undang-undang antarabangsa apatah lagi mahu mematuhinya kerana menganggap ‘mereka adalah bangsa pilihan Tuhan’ yang tidak perlu terikat dengan undang-undang tersebut.

Apabila perang Gaza tercetus ia menjadi medan terbaik untuk ketiga-tiga manusia kejam tersebut membunuh rakyat Palestin seramai mungkin dan menghancurkan Gaza sehancur-hancurnya.

‘Kekebalan’ mereka semakin ampuh apabila apa juga tindakan dilakukan, mereka akan terselamat dengan ada ‘peguambela paling berkuasa di dunia’ iaitu Donald Trump. Jangan lupa AS telah memberi bantuan ketenteraan berbilion ringgit kepada Israel dan ketika berucap di Parlimen Israel pada 13 Oktober lalu Trump menyifatkan Netanyahu ‘menggunakannya dengan baik’.

Pada tarikh itu dan di tempat itu juga Trump mengisytiharkan perang Gaza telah berakhir dan pelan damai akan dilaksanakan. Tetapi lihatlah apa yang berlaku hari ini, Israel mencabuli gencatan senjata sewenang-wenangnya, mereka membunuh rakyat Palestin atas alasan ‘menghampiri garisan kuning’.

Ketika dunia sudah bersiap untuk memulihkan Gaza melalui penghantaran bantuan, Netanyahu dan konco-konco menberi pelbagai alasan untuk menutup sempadan Rafah supaya Gaza terus sengsara.

Walaupun pencabulan gencatan senjata dilakukan, biarpun rakyat Palestin terus dibunuh, Trump dan AS tidak berbuat apa-apa sebaliknya terus mendesak Hamas meletakkan senjata  untuk menutupi kejahatan rejim Zionis.

Sekali lagi Hamas dijadikan alasan untuk menghalalkan ‘tiga dajal’ bermaharajela. Sebab itulah Netanyahu memberi amaran perang tidak akan berakhir selagi Hamas masih wujud.Maknanya Israel sama sekali tidak akan dan tidak mungkin menghentikan pembunuhan mereka ke atas rakyat Palestin.

Ia  bermakna semua pelan damai yang diatur oleh Trump dan mendapat pujian dunia hanyalah sandiwara dan konspirasi kelas tertinggi antara Trump,Netanyahu dan Israel.

Tidakkah dunia berasa janggal apabial Trump menjemput Netanyahu ke Rumah Putih untuk berbincang dengan Perdana Menteri Israel itu mengenai  pelan damai dan mengisytiharkan perang berakhir di Parlimen Israel?

Selain itu beberapa jam sebelum Trump tiba di Tel Aviv, Itamar Ben-Gvir dan  Bezalel Smotrich memberi amaran kepada Netanyahu bahawa mereka akan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Israel itu jika beliau menyokong pelan damai yang akan antara lain akan membebaskan tahanan Palestin.

Apa yang menjadi kebimbangan ialah Netanyahu, Ben-Gvir dan Smotrich mungkin telah berpakat untuk membiarkan gencatan senjata diisytiharkan oleh Trump.

Muslihat tiga Zionis  itu adalah untuk memerangkap penduduk Palestin yang teruja pulang ke rumah-rumah masing-masing dan apabila sudah tiba di Gaza…pembunuhan beramai-ramai akan diteruskan.

Sebab itulah selepas gencatan senjata masih ada rakyat Palestin dibunuh atas alasan menghampiri garisan kuning – kawasan yang diperuntukkan kepada Israel melalui pelan damai.

Terbaru sebuah keluarga Palestin seramai 11 orang mati ditembak oleh tentera Israel ketika kenderaan mereka melalui kawasan berdekatan garisan kuning.  Israel beri alasan mereka memberi ancaman. Ancaman apa? Dalam kenderaan itu ada empat kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Paling malang, Trump dan AS cuba menutupi kejahatan mencabul gencatan senjata dengan membuat tuduhan ke atas Hamas.

Jabatan Negara ASAmerika Syarikat mendakwa pihaknya telah menerima laporan yang boleh dipercayai bahawa Hamas sedang merancang untuk melancarkan serangan terhadap orang awam Palestin di Semenanjung Gaza .

Mereka menyifatkan ia satu tindakan  pelanggaran serius terhadap perjanjian gencatan senjata yang sedang berkuat kuasa.

“Jika Hamas meneruskan rancangan ini, langkah-langkah akan diambil bagi melindungi rakyat Gaza dan mempertahankan integriti perjanjian damai yang telah dicapai,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut membuktikan AS menutup segala kejahatan Israel  dengan menjadikan Hamas sebagai ‘kambinghitam”.

Kesimpulannya, tiga Zionis  atau tiga dajal tersebut  ‘yang disokong’ AS mempunyai peranan masing-masing bagi menghapuskan  keturunan Palestin.

Netanyahu bertanggungjawab menggunakan Trump dan AS untuk berhadapan tekanan antarabangsa, Ben-Gvir memastikan tahanan Palestin diseksa sampai mati atau cacat dan Smotrich pula mengatur strategi untuk merampas tanah milik rakyat Palestin.

Oleh itu buatlah apa sahaja demi memulihkan Gaza dan mewujudkan negara Palestin tetapi selagi ‘tiga dajal’ ini wujud, percayalah semua perancangan tidak akan ke mana. Tetapi malangnya majoriti pemimpin dan negara Islam terperdaya dengan ‘orkestra’ pelan damai tajaan AS, Netanyahu dan Israel.

 


 

UNDILAH

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img