YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah budaya menolak rasuah dan salah guna kuasa mesti menjadi teras kepimpinan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Titah baginda, integriti, ketelusan dan akauntabiliti adalah asas penting dalam memastikan ATM kekal dihormati serta diyakini rakyat.
“Seluruh warga ATM perlu mengekalkan disiplin tinggi dan menjadikan prinsip menolak rasuah sebagai budaya kerja yang berterusan demi kedaulatan dan kepentingan negara,” titah baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Sultan Ibrahim menzahirkan nasihat itu ketika berkenan menerima mengadap Panglima Angkatan Tentera yang baharu Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman, di Istana Negara hari ini.
Seri Paduka Baginda, bertitah kekuatan sesebuah angkatan pertahanan bukan sahaja terletak pada aset dan teknologi, tetapi juga pada nilai integriti.
Baginda turut berkenan mengingatkan supaya kepemimpinan tertinggi ATM sentiasa mengutamakan kebajikan anggota, di samping mempertingkatkan keupayaan pertahanan selaras dengan perkembangan cabaran keselamatan semasa.
Pada pertemuan berkenaan, baginda turut berkenan menzahirkan keyakinan bahawa PAT yang baharu mampu menggalas tanggungjawab dengan penuh dedikasi.


