Trump kata ‘peluang cerah’ tamatkan perang di Gaza ketika tentera Netanyahu bunuh 37 lagi rakyat Palestin

TENTERA Israel membunuh sekurang-kurangnya 37 lagi orang awam dan mencederakan ramai yang lain dalam serangan di seluruh Semenanjung Gaza pada Ahad, menurut sumber perubatan.

Pembunuhan oleh tentera Zionis dilakukan ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melalui akaun Truth Social berkata terdapat “peluang sebenar di Timur Tengah” selepas mesyuarat peringkat tinggi dengan para pemimpin negara Muslim di sela-sela Perhimpunan Agung PBB ke-80 di New York.

“Semua bersatu untuk sesuatu yang istimewa, pertama kali dalam sejarah. Kita akan jayakannya,” tulis Trump di platform media sosialnya, Truth Social.

Mesyuarat pelbagai hala itu melibatkan pemimpin dari Turkiye, Qatar, Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Jordan, dengan perbincangan berfokus kepada konflik Gaza dan usaha damai.

Trump membentangkan pelan 21 perkara yang bertujuan menamatkan perang di Gaza, membebaskan tebusan, serta membangunkan semula rantau itu di bawah pentadbiran tanpa penglibatan Hamas.

Beliau juga menegaskan tidak akan membenarkan Israel menggabungkan Tebing Barat. Presiden AS itu dijadualkan bertemu secara berasingan dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin untuk membincangkan cadangan tersebut.

Bagaimanapun persoalan timbul mampukah Trump berbuat demikian untuk menghentikan kekejaman Israel sedangkan sehingga ke hari ini, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu terus mengarahkan tenteranya mengganas di Gaza.

Hari ini,  petugas perubatan di Gaza menyatakan,  37 lagi rakyat Palestin  dibunuh oleh tentera Zionis.

Seorang kanak-kanak berjalan di bandar Gaza ketika tentera Israel sedang melakukan serangan.

Dalam serangan di utara Kompleks Perubatan A-Shifa, seorang rakyat Palestin terbunuh akibat pengeboman Israel.

Tiga lagi terbunuh dalam satu serangan udara berhampiran Stadium Palestin di kejiranan Ramla, manakala lima lagi maut dalam siri serangan udara di seluruh bandar Gaza.

Beberapa orang turut dilaporkan terbunuh apabila tentera menyerang satu perhimpunan orang awam di kejiranan Al-Nasr. Petugas perubatan berkata mayat masih tertimbus di bawah runtuhan dan angka korban sebenar belum dipastikan.

Di Gaza tengah, sembilan orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh apabila tentera Israel menyerang sebuah rumah di kem pelarian Nuseirat.

Tiga lagi maut dalam satu lagi serangan di bahagian barat kem tersebut. Di bandar berdekatan al-Mughraqa, seorang lelaki terbunuh ketika sedang mengutip kayu api.

Seorang lagi orang awam terbunuh dan beberapa yang lain cedera di kem pelarian Bureij, manakala seorang lagi terbunuh ketika mendapatkan bantuan kemanusiaan di tapak agihan AS berhampiran Koridor Netzarim.

Sembilan lagi rakyat Palestin terbunuh dalam beberapa serangan lain di seluruh Gaza tengah.

Di selatan, tembakan Israel membunuh dua orang awam yang sedang mendapatkan bantuan di Rafah dan Khan Younis, manakala dua lagi terbunuh akibat tembakan tentera dalam insiden berasingan, kata sumber perubatan.

Sementara itu, saksi berkata tentera Israel terus merobohkan bangunan kediaman dengan meletupkan kenderaan yang dipasang bahan letupan di kejiranan Al-Sabra, bandar Gaza.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel telah membunuh lebih 66,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Berbulan-bulan serangan udara dan darat telah menjadikan sebahagian besar enklaf itu tidak dapat didiami serta menjerumuskan penduduknya ke dalam kebuluran.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img