‘’Tuduhan ini ada unsur campur tangan politik’’ – dakwa Azman Nasrudin

AHLI Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, menegaskan bahawa pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya adalah tidak berasas serta didakwa mempunyai unsur campur tangan politik.

Beliau berkata demikian pada sidang media petang ini selepas selesai urusan ikat jamin berhubung pertuduhan bersubahat meminta dan menerima suapan berkaitan projek ternakan lembu fidlot milik kerajaan negeri.

Menurut Azman, selepas meneliti butiran pertuduhan, tiada satu pun perkara yang menunjukkan beliau melakukan sebarang kesalahan.

“Pertuduhan yang dikenakan terhadap saya tidak membuktikan saya menerima atau meminta wang. Saya hanya dituduh bersubahat… mengarahkan, tanpa apa-apa bukti yang mengaitkan saya,” katanya.

Azman turut mendakwa pertuduhan itu dibuat secara tergesa-gesa, termasuk merujuk perkembangan kes melibatkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

“Bagi saya, tuduhan ini ada unsur campur tangan politik. Saya dimaklumkan seorang lagi tertuduh bahawa kes beliau sepatutnya disebut pada Januari atau Februari, tetapi tiba-tiba didakwa sama dengan saya. Ini seolah-olah pertuduhan segera untuk menutup kes-kes yang berlaku minggu ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak pembelaan akan mencabar arahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, dan permohonan berkaitan akan difailkan sebelum tarikh sebutan semula pada 13 Januari 2026.

Terdahulu, Azman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas pertuduhan bersubahat menerima suapan RM400,000 berhubung projek usaha sama penternakan lembu fidlot milik kerajaan negeri.

Azman didakwa bersubahat membantu seorang individu mendapatkan Projek Usahasama Ternakan Lembu Pedaging Secara Fidlot dengan mengarahkan Kedah Agro Holding Berhad (KAHB) mengeluarkan surat tawaran projek berkenaan kepada individu tersebut.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ladang Fidlot Kedah Agro, Kedah Darul Aman, mengikut Seksyen 28(1)(c) bersama Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img