Tujuh serangan bom kecil di Selatan Thailand… berulangkah Ramadan berdarah ?

APAKAH Ramadan berdarah akan berulang lagi di Selatan Thailand? Itulah persoalan yang timbul apabila  tujuh letupan bom kecil dilaporkan berlaku di daerah Yi-ngo dan Rangae, Narathiwat pada malam Sabtu hingga awal pagi semalam, dalam apa yang dipercayai pihak berkuasa sebagai cubaan kumpulan pemberontak untuk mencetuskan kekacauan menjelang bulan suci itu.

Media tempatan melaporkan, letupan pertama berlaku kira-kira pukul 11 malam Sabtu, apabila satu peranti yang diletakkan di dalam tong sampah meletup di hadapan sebuah bengkel membaiki motosikal di jalan menuju ke Hospital Yi-Ngo Chaloem Phrakiat di Moo 7, daerah Yi-ngo.

Beberapa motosikal yang diletakkan di situ mengalami kerosakan, menurut Leftenan Polis Borarn Phiteenattananon, Timbalan Ketua siasatan Yi-ngo.

Letupan kedua menyusul sekitar tengah malam, kira-kira 300 meter dari lokasi pertama. Bom itu juga diletakkan di dalam tong sampah, kali ini di luar pejabat ternakan daerah. Kira-kira pukul 2 pagi, satu lagi bom meletup di hadapan sebuah kedai membaiki telefon bimbit di kawasan Moo 7 yang sama, sekali lagi diletakkan di dalam tong sampah di tepi jalan.

Dua lagi letupan berlaku sebelum subuh — satu pada pukul 4 pagi berhampiran jambatan besi dekat menara jam, dan letupan kelima tidak lama kemudian di kawasan semak berhampiran pintu keluar pekan Yi-ngo Moo 2.

Pasukan keselamatan mengepung kelima-lima lokasi dan menjalankan pemeriksaan terperinci pada pagi Ahad. Tiada kecederaan dilaporkan.

Rakaman CCTV yang diteliti penyiasat menunjukkan dua suspek tiba dengan menaiki motosikal dan meletakkan bahan letupan di kawasan semak di tepi jalan berhampiran pintu keluar Yi-ngo menuju ke Lebuhraya No 42, kata Lt Borarn.

Di daerah Rangae yang berjiran, polis menerima laporan pada pukul 11.32 malam daripada pemilik kedai runcit di tambon Tanyongmat, di mana satu letupan telah merosakkan barangan pameran.

Sekitar pukul 1 pagi, satu lagi peranti meletup di dalam tong sampah bertentangan Pejabat Kawasan Perkhidmatan Pendidikan Rendah 3, juga di Tanyongmat. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pasukan keselamatan telah meningkatkan rondaan dan sedang meneliti rakaman CCTV bagi mengenal pasti suspek. Mereka percaya serangan yang diselaraskan itu dilakukan oleh pemisah selatan untuk mencetuskan ketegangan di rantau tersebut menjelang Ramadan tahun ini.

Persoalannya kenapa puak pemisah masih terus mahu melakukan ‘kegilaan mereka’ menjelang Ramadan setiap tahun? Adakah pada tahun ini keadaan yang sama akan berulang di Selatan Thailand? Kenapa puak pemisah yang kononnya berjuang untuk umat Islam mahu menyimbah darah di wilayah tersebut ketika bulan suci berkenaan?

Apa yang mereka dapat dengan berbuat demikian? Sokongan? Bayaran?Kuasa?…Tidak ada! Sebaliknya hanya menimbulkan kebencian penduduk Islam terhadap puak pemisah. Mereka bangga mendabik dada kononnya berjuang untuk umat Islam, mereka memperdayakan seluruh dunia  kononnya penduduk Islam di Selatan Thailand ditindas.

Tetapi soalnya, siapa yang buat serangan ganas di bulan Ramadan? Siapa yang gugat ketenteraman umat Islam untuk beribadah pada bulan suci itu? Ketika pihak keselamatan Thailand bertungkus lumus memastikan umat Islam dapat melaksanakan aktiviti bulan tersebut dengan tenang dan aman, puak pemisah pula tak habis-habis mahu menghancurkan usaha tersebut.

Sepatutnya, puak pemisah faham, perjuangan mereka adalah sia-sia. Penduduk Islam tidak akan menyebelahi sebarang perbuatan ganas sebaliknya mahu menjalani kehidupan dengan aman dan tenteram termasuklah melaksanakan ibadah kepada Allah SWT dalam suasana damai bukannya dibelenggu ketakutan akibat angkara puak tersebut.

Semoga pada tahun ini  puak pemisah tidak akan meneruskan kerja sia-sia mereka. Izinkanlah penduduk Islam beribadah dengan tenang, walaupun riak-riak keganasan sudahpun kelihatan dengan serangan tujuh bom kecil kelmarin dan semalam.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img