UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam hari ini mengesahkan dua wanita yang cedera dalam kejadian pokok tumbang di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, di Shah Alam, tengah hari ini adalah pensyarah di pusat pengajian tinggi itu.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin yang mengesahkan perkara itu berkata, kedua-dua pensyarah terbabit ialah Dr Nur Shahidah Ab Aziz dan Dr Shareena Fairuz Abdul Manaf dari Fakulti Kejuruteraan Kimia (FKK).
Kejadian berlaku ketika kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Xpander dinaiki mereka dihempap pokok tumbang berhampiran sebuah pangsapuri.
“Dimaklumkan bahawa dua pensyarah, Dr Nur Shahidah dan Dr Shareena Fairuz dari Fakulti Kejuruteraan Kimia, UiTM Shah Alam telah ditimpa musibah pada tengah hari ini, apabila kenderaan yang dinaiki mereka telah ditimpa oleh sebatang pokok tumbang di hadapan pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7.
“Makluman awal dari FKK pada jam 2.20 petang tadi, kedua-dua pensyarah berada dalam keadaan sedar walaupun mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan serta pemerhatian doktor di Zon Kritikal, Hospital Shah Alam.
Difahamkan, Nur Shahidah, 39, dilaporkan cedera di kepala dan muka manakala Shareena Fairuz, 42, di pinggang.
“Sehubungan itu, mohon sama-sama kita mendoakan keselamatan, kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan buat kedua-dua pensyarah tersebut.
“Semoga Allah SWT mudahkan semua urusan, direzkikan keselamatan, dan kesembuhan, amin,” katanya menerusi satu hantaran pada akaun Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua wanita cedera selepas kenderaan dinaiki dihempap pokok tumbang di sebuah pangsapuri di Persiaran Tun Arshad Ayub, Seksyen 7, Shah Alam tengah hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 12.11 tengah hari.


