UKM perjelaskan penamatan kontrak 20 kakitangan ikut prosedur, undang-undang

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini menegaskan isu pemecatan dan penamatan kontrak lebih 20 orang staf yang tular di media sosial baru-baru ini dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang serta kuasa statutori yang ditetapkan.

Universiti itu memaklumkan, sebagai institusi pendidikan tinggi awam yang berteraskan prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik, setiap keputusan berkaitan pelantikan, penyambungan mahupun penamatan kontrak dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta kuasa statutori yang ditetapkan.

“Semua proses terbabit dibuat berdasarkan garis panduan dan peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),” kata UKM dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan itu, setiap keputusan adalah selaras dengan prosedur pelantikan kakitangan awam dan melalui pertimbangan profesional serta menyeluruh.

“Ia turut mengambil kira keperluan semasa dan kelestarian organisasi bagi jangka masa panjang.

“Pihak universiti menegaskan sebarang keputusan yang dibuat bukan bersifat sewenang-wenangnya, sebaliknya melalui proses pentadbiran yang ditetapkan,” tambah kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, pihaknya sentiasa mematuhi peraturan dan garis panduan pelantikan staf seperti yang digariskan pihak berkuasa berkaitan.

“Dalam masa sama, pihak universiti akan terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab serta mandat sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi awam negara, demi memastikan kelangsungan kecemerlangan akademik dan pengurusan institusi kekal terpelihara,” katanya.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img