INISIATIF `Rumah Bangsa’ oleh UMNO dilihat sebagai pendekatan luar biasa bagi memperkukuh parti itu di Semenanjung dan Sabah.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, usaha itu juga bertujuan memastikan UMNO terus relevan bukan hanya ketika musim pilihan raya tetapi sepanjang masa.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan bagi menguruskan permohonan termasuk daripada pemimpin yang telah dipecat atau keluar parti untuk menyertai semula UMNO.
“Pendekatan kami adalah untuk ‘memaafkan dan melupakan’. Ketika ada parti lain mengambil tindakan memecat ahli, kami pula membuka ruang untuk menerima mereka kembali,” katanya.
Ahmad ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sarawak, di ibu negara hari ini.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, beberapa tokoh telah menunjukkan minat untuk kembali menyertai UMNO dan pengumuman lanjut akan dibuat dari semasa ke semasa.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, inisiatif `Rumah Bangsa’ terbuka kepada semua tanpa mengenakan sebarang syarat, termasuk bekas pemimpin UMNO.
Dua bekas pemimpin kanan UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaludin dilaporkan telah mengemukakan surat permohonan untuk kembali menyertai parti itu dan disahkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki menerusi hantaran di Facebook semalam.


