UMNO perlu kaji semula kedudukan dalam Kerajaan – Ku Li

UMNO disaran mengkaji semula kedudukannya dalam kerajaan sekiranya parti itu gagal bertindak tegas mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), khususnya berhubung isu pengampunan dan nasib bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perkara tersebut perlu dilihat secara serius kerana ia menyentuh asas perjuangan UMNO.

Menurut beliau, jika sesuatu keputusan atau keadaan dilihat bertentangan dengan prinsip tersebut, UMNO tidak wajar terus berdiam diri atau berkompromi demi kepentingan kuasa semata-mata.

“Kalau difikir perkara ini serius dan bertentangan dengan perjuangan UMNO yang mendaulatkan Raja-Raja serta mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu, maka UMNO patut berfikir semula kedudukannya dalam kerajaan,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Jalan Langgak Golf Kuala Lumpur, hari ini.

Sejak akhir-akhir ini, wujud gesaan supaya UMNO meninggalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kekecewaan mereka terhadap perkembangan kes Najib.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh baru-baru ini secara terbuka menggesa parti itu menarik sokongan terhadap Kerajaan MADANI dengan menyatakan lebih baik partinya menjadi pembangkang yang bermaruah daripada terus `dihina’.

Dalam pada itu, Tengku Razaleigh yang lebih mesra disebut Ku Li turut menegaskan bahawa pimpinan UMNO yang memegang jawatan dalam kerajaan juga perlu membuat pertimbangan secara berprinsip, termasuk menilai sama ada wajar untuk terus berada dalam pemerintahan atau menyerahkan kembali jawatan demi kepentingan dan kesatuan parti.

“Semua yang memegang jawatan dalam kerajaan juga mesti menimbang untuk menyerah balik kuasa itu supaya kita boleh bersatu semula dalam parti untuk menentukan sikap UMNO,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu turut menyuarakan rasa terkilan terhadap kepimpinan tertinggi UMNO yang dilihat tidak bertindak susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjaranya dengan tahanan rumah, baru-baru ini.

Jelasnya, sehingga hari ini kepimpinan parti itu tidak bercadang untuk mengadakan sidang di peringkat tertinggi bagi mengkaji kedudukan tentang keputusan tersebut.

“Sampai hari ini kita belum dengar cerita UMNO ada cadangan hendak mengadakan sidang di peringkat tertinggi untuk mengkaji kedudukannya tentang keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Keputusan yang perlu diambil UMNO sebagai sebuah parti yang membantu penubuhan Kerajaan Perpaduan yang ada hari ini. Sebab tanpa penglibatan dan sokongan dan ahli- ahli Parlimen UMNO kerajaan ini tak dapat diwujudkan,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, UMNO perlu berani menentukan pendirian sebenar parti sama ada untuk membetulkan keadaan dari dalam kerajaan atau mengambil keputusan lain yang lebih selari dengan perjuangan asal parti.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa keputusan mahkamah perlu dihormati sepenuhnya, namun pada masa yang sama Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara tidak boleh diketepikan atau ditafsir secara selektif.

Katanya, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan adalah hak Yang di-Pertuan Agong yang perlu dihormati semua pihak dalam kerangka Raja Berperlembagaan.

“Takkan kita nak bergantung pada orang sepanjang masa. Kita ada undang-undang. Kita ada Perlembagaan parti yang kita mesti patuhi. Kalau tidak, tak ada makna. Berjuang hanya kerana kerusi empuk sahaja,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO tidak seharusnya mengorbankan prinsip perjuangan demi kedudukan sementara dalam kerajaan, sebaliknya perlu kembali kepada asas penubuhannya sebagai parti yang mempertahankan kedaulatan undang-undang, institusi diraja dan kepentingan rakyat.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img