UTAR sahkan mangsa insiden letupan di HELP University pelajar praktikalnya, bakal tamat latihan Khamis ini

UNIVERSITI Tunku Abdul Rahman (UTAR) mengesahkan mangsa yang maut dalam kejadian letupan di sebuah universiti swasta hari ini ialah pelajar praktikal dari universiti tersebut yang sedang menjalani latihan industri bersama sebuah syarikat penyelenggaraan pendingin udara.

Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik UTAR, Prof Dr Chang Yoong Choon berkata, mangsa, Soo Yu Juan, 24, merupakan pelajar tahun ketiga kursus Kejuruteraan Mekanikal dan sepatutnya menamatkan latihan industrinya Khamis ini.

PROF Dr Chang Yoong Choon

Menurutnya, latihan industri berkenaan sebahagian keperluan rutin pengajian bagi pelajar kejuruteraan untuk memberikan pendedahan kepada persekitaran kerja sebenar.

“Kejadian ini amat mengejutkan dan luar jangkaan pihak universiti. Pelajar berkenaan pergi ke lokasi sebagai sebahagian daripada tugasan rutin berkaitan kerja penyelenggaraan pendingin udara,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), lapor Bernama.

Dr Yoong Choon berkata, pihak universiti menyediakan perlindungan insurans kepada semua pelajar termasuk melibatkan kejadian kemalangan semasa latihan industri.

“Selepas semua dokumen berkaitan diperoleh, universiti akan mengemukakan tuntutan insurans. Saya sendiri mewakili universiti untuk menguruskan kes ini sehingga selesai sebagai komitmen UTAR kepada pelajar dan keluarga mangsa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan syarikat tempat mangsa menjalani latihan industri juga menyatakan komitmen untuk memberikan sokongan dan bantuan termasuk dalam urusan pengebumian.

Katanya lagi, punca sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan dan pihaknya menunggu hasil siasatan bomba dan penyelamat.

Media hari ini melaporkan, seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan gas pemampat pendingin udara di sebuah universiti swasta kira-kira jam 11.40 pagi ini.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img