BEBERAPA kawasan di utara Semenanjung Malaysia mengalami cuaca panas luar biasa sejak tiga hari lalu, dengan daerah Padang Terap di Kedah merekodkan fenomena gelombang haba.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gelombang haba ditakrifkan sebagai suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius yang berterusan sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
Selain Padang Terap, MetMalaysia memaklumkan sebanyak 10 lagi lokasi di utara Semenanjung mencatatkan tahap cuaca panas “berjaga-jaga” selepas merekodkan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius dalam tempoh sama.
Antara kawasan terlibat ialah Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik, Langkawi, Kuala Muda, Pendang, Baling dan Bandar Baharu di Kedah, selain seluruh negeri Perlis serta daerah Timur Laut di Pulau Pinang.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk mengurangkan aktiviti luar, minum air secukupnya dan mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas bagi mengelakkan risiko kesihatan seperti strok haba.


