Video tular ‘amukan’ terhadap pegawai Imigresen – Ini penjelasan Shuhaily

 

“Untuk pengetahuan semua, amukan saya pada malam itu kepada satu kumpulan (syif), yang mana akhirnya terzahir bahawa dalam Ops Rentas, separuh daripada yang ditahan SPRM.” – Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

“JIKA  ada terjebak dengan benda tidak sihat, bila kamu masuk AKPS (Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia) semua tabiat buruk itu mesti kena berhenti,” kata Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada semua pegawai dan anggotanya.

Beliau berkata, perkara itu ditekankan sejak beliau mula dilantik bagi menerajui agensi yang baru ditubuhkan itu, malah sebuah video tular memaparkan beliau memarahi anggotanya kerana didapati melakukan kesalahan.

“Siapa yang ada pada malam itu tahu, saya datang (majlis) untuk meraikan kejayaan tuan-tuan dan puan-puan menahan dan menghantar pulang hampir 200 warga asing yang masuk (ke negara ini) tanpa sebab munasabah. Tetapi Allah SWT membuka mata saya kepada sesuatu yang tak sepatutnya saya tahu ataupun lihat.

“Untuk pengetahuan semua, amukan saya pada malam itu kepada satu kumpulan (syif), yang mana akhirnya terzahir bahawa dalam Ops Rentas, separuh daripada yang ditahan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) adalah dalam kumpulan yang saya amuk pada malam itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Townhall Bersama Ketua Pengarah AKPS di Kompleks Setia Perkasa, di Putrajaya semalam, yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, lapor Buletin Utama.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, video ‘amukan’ itu dirakam seorang individu secara senyap-senyap tanpa pengetahuannya sehingga tular di media sosial.

“(Ia berlaku) Dua minggu selepas saya hadir, seorang ditangkap disusuli dengan Ops Rentas daripada pihak SPRM yang masih diteruskan sehingga hari ini. Itu satu benda yang perlu kita perbaiki. Semua di barisan hadapan tanpa mengira apa agensi, itu adalah amalan kerja yang perlu kita perbaiki,” katanya.

Beliau berkata, video tular itu kebanyakannya mendapat sokongan daripada orang ramai, namun sebagai pemimpin agensi itu, ia bukan sesuatu yang membanggakan kerana ia adalah kelemahan daripada dirinya sendiri.

Katanya, beliau tidak memilih kumpulan berkenaan untuk bekerja dalam syif terbabit, namun Allah SWT menggerakkan dirinya untuk memberi amaran kepada kumpulan itu supaya tidak melakukan kegiatan tidak baik.

“Tanggungjawab saya selesai, saya tak tahu apa hikmah yang berlaku pada malam itu sehinggalah SPRM menangkap hampir separuh daripada mereka, daripada kumpulan itu.

“Saya tak berbangga, mungkin orang ingat saya suka, tetapi setiap kali anggota saya jatuh, saya ‘sakit’, saya kecewa kerana ia menyulitkan AKPS dalam konteks operasi,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata, setiap pegawai atau anggota yang ditahan atau disiasat perlu dialihkan daripada tugas mereka dan beban kerja kakitangan berkenaan perlu dipikul orang lain, malah gaji mereka turut disekat.

Justeru, beliau menegaskan sudah sampai masanya mereka yang terbabit dengan kegiatan jenayah supaya berubah segera kerana tiada kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak.

 


 

UNDILAH

[forminator_poll id=”4900″]

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img