Vietnam jinakkan Malaysia 3-1 di Nam Dinh

AKSI terakhir Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 berakhir pahit buat Malaysia apabila tumpas 1-3 di tangan Vietnam dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Thien Truong, Nam Dinh, sekali gus menutup kempen dengan kekecewaan.

Vietnam mempamerkan permulaan agresif apabila hanya memerlukan enam minit untuk berada di depan. Do Duy Manh menanduk kemas sepakan penjuru yang diambil Truong Tien Anh bagi meletakkan tuan rumah mendahului.

Skuad negara di bawah kendalian Peter Cklamovski cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-10, namun percubaan Faisal Halim hasil gerakan Paulo Josue tersasar dan tidak menguji penjaga gol lawan.

Tekanan berterusan Vietnam hampir membuahkan hasil kedua pada minit ke-24, tetapi percubaan jarak jauh Nguyen Hoang Duc sekadar terkena palang walaupun Ahmad Syihan Hazmi sudah pun tertewas.

Penjaga gol negara itu bagaimanapun menebus kesilapan apabila melakukan aksi penting pada minit ke-32 untuk menafikan cubaan Do Hoang Hen dari dalam kotak penalti, sekali gus memastikan Malaysia hanya ketinggalan satu gol sehingga waktu rehat.

Memasuki separuh masa kedua, Vietnam terus mengukuhkan cengkaman apabila Nguyen Xuan Son menanduk masuk hantaran Do Hoang Hen pada minit ke-51 untuk gol kedua pasukan.

Lapan minit kemudian, pemain sama sekali lagi menghukum pertahanan Malaysia apabila menanduk masuk hantaran lintang Truong Tien Anh tanpa kawalan, menjadikan kedudukan 3-0.

Malaysia hanya mampu merapatkan jurang pada minit ke-77 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh pemain gantian, Endrick Dos Santos.

Keputusan itu juga menyaksikan Malaysia masih gagal menamatkan penantian untuk menang di gelanggang Vietnam sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2014.

Dalam kedudukan akhir kumpulan, Vietnam mengungguli saingan dengan 18 mata penuh daripada enam perlawanan dan telah pun mengesahkan tempat ke pusingan akhir. Malaysia berada di tangga kedua dengan sembilan mata, diikuti Laos yang mengutip enam mata, manakala Nepal di kedudukan terakhir dengan tiga mata.

Hasrat Malaysia untuk layak ke Piala Asia 2027 secara merit buat kali kedua berturut-turut tidak kesampaian susulan pemotongan mata oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Sebelum ini, Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melanggar Artikel 56 selepas didapati menurunkan pemain tidak layak dalam perlawanan kelayakan menentang Nepal dan Vietnam pada tahun lalu.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img