JIKA pada hari Jumaat kira-kira pukul 7.05 malam, seorang wanita Marliana Awang di Kampung Pida 3, Jerlun memangku jasad suaminya yang putus kepala ditetak oleh adik ipar lelaki itu, kira-kira 24 jam kemudian satu lagi peristiwa trajis berlaku, kali ini di Sungai Golok, Thailand.
Di daerah sempadan dengan Kelantan itu, seorang wanita yang sarat mengandung Wan Fatihah Mat Husin, 35 pula menempuh detik pilu apabila suaminya, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, ditembak 18 das hingga rebah dalam pangkuannya dalam serangan di rumah mereka petang kelmarin.
Memetik Sinar Harian, Wan Fatihah berkata, arwah yang sedang memasang kamera litar tertutup (CCTV) tidak sempat menyelamatkan diri apabila dua lelaki dipercayai sepupunya sendiri (Wan Fatihah) muncul dari arah belakang sebelum melepaskan tembakan bertubi-tubi sehingga habis peluru, meninggalkan lelaki itu dalam keadaan nazak sebelum menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sungai Golok kira-kira jam 9 malam.
Wan Fatihah berkata, kejadian kira-kira jam 6.40 petang waktu Thailand itu berlaku begitu pantas dan dia hanya mampu mendapatkan suami serta memeluknya selepas lelaki itu rebah ditembusi peluru.
“Dua suspek itu datang dari arah belakang dan menembak suami menggunakan masing-masing dua pistol. Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah suami. Saya berlari ke arah suami dan sempat memeluknya selepas rebah. Selepas itu kedua-dua lelaki itu masih melepaskan tembakan sehingga habis peluru. Kemudian mereka berjalan pergi. Saya menjerit meminta tolong orang sekeliling,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Apam di Pasir Mas.
Menurut Wan Fatihah, suaminya ditembak pada bahagian tubuh, leher dan beberapa bahagian lain, dan jumlah 18 das tembakan disahkan selepas selesai urusan bedah siasat.
Jenazah Mohd Fuad Fahmie selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Apam pada jam 2.30 petang Ahad. Wan Fatihah dijangka bersalin pada 10 Disember ini, tarikh yang sama dengan ulang tahun kelahiran arwah suaminya.
UNDILAH |



