SEORANG pegawai tadbir kerugian sebanyak RM220,000 selepas wang simpanan dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB), Tabung Haji serta wang pinjaman peribadinya lesap akibat diperdaya sindiket ‘phone scam’.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 3 September lalu apabila mangsa berusia 31 tahun menerima panggilan daripada individu mengaku sebagai ‘pegawai’ Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Menurutnya, suspek mendakwa mangsa mempunyai akaun bank di Johor yang terlibat dalam kegiatan penggubahan wang haram sebelum panggilan itu disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai Sarjan Khairudin dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Individu berkenaan kemudian memaklumkan bahawa mangsa kononnya sedang disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.
“Suspek meminta mangsa mendedahkan semua maklumat akaun bank termasuk ASB dan Tabung Haji, serta melapor diri setiap kali masuk waktu solat.
“Beberapa hari kemudian, mangsa dihubungi lelaki lain yang mengaku sebagai ASP Rashid, kononnya pegawai penyiasat yang akan membantu menyelesaikan kes di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Azli, suspek kemudian mengarahkan mangsa mengeluarkan wang RM25,000 daripada akaun ASB dan RM5,000 daripada akaun Tabung Haji dengan alasan kononnya untuk siasatan audit Bank Negara.
“Wang tersebut dipindahkan ke dalam akaun CIMB atas nama seorang individu, namun, dua hari kemudian suspek mendakwa wang berkenaan disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram dan mengarahkan mangsa membuat pinjaman baharu,” katanya.
Tambahnya, mangsa diarahkan pula untuk membuat semakan dengan pihak bank untuk jumlah kelayakan pinjaman.
Katanya, mangsa memberitahu telah mendapat kelayakan pinjaman sebanyak RM200,000 daripada Bank Rakyat dan diarahkan untuk tidak menceritakan tujuan pinjaman tersebut kepada pihak bank atau majikan.
“Mangsa kemudian membuat pinjaman RM194,461.38 daripada bank tersebut dan diarahkan membuat tujuh transaksi pemindahan wang berjumlah RM190,000 ke akaun seorang lagi individu antara 8 hingga 14 Oktober lalu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi kedua-dua suspek dan mendapati nombor telefonnya telah disekat suspek,” katanya.
Jelasnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian RM220,000 melibatkan wang simpanan dan pinjaman peribadi.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Azli dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada panggilan telefon kononnya daripada pegawai bank atau pihak berkuasa serta segera membuat semakan dengan polis atau institusi kewangan bagi mengelak menjadi mangsa.
UNDILAH | 



