Seorang wanita dan anak saudaranya maut selepas ditarik ombak dalam kejadian Pantai Petunjuk, Kijal, Kemaman hari ini.
Mangsa berusia 39 tahun berasal dari Jitra, Kedah disahkan meninggal dunia jam 5.42 petang ketika menerima rawatan di Hospital Kemaman manakala anak saudaranya, kanak-kanak berusia 12 tahun dari Ampang, Selangor disahkan meninggal jam 5.23 petang di Klinik Kesihatan Kijal.
Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Mohd Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Katanya, kedua-dua mangsa dikatakan bersama lima lagi ahli keluarga mandi di pantai berkenaan.
“Ketika sedang mandi, semua mangsa dipercayai ditarik ombak ke tempat yang dalam menyebabkan semua mereka hampir lemas. Semua mangsa bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh ahli keluarga dan orang ramai yang berada di tempat kejadian,” katanya, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, dua mangsa terbabit disahkan meninggal dunia selepas diberi rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Kijal dan Hospital Kemaman.
UNDILAH |