SEORANG pekerja kedai serbaneka dipenjara sembilan tahun oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat selepas mengaku bersalah melakukan pecah amanah berjumlah lebih RM30,000 milik majikannya bagi melangsaikan hutang along.
Tertuduh, Nurfatin Najwa Ahmad Bzli, 23, membuat pengakuan itu terhadap tujuh pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan pertama, kedua, keempat dan kelima; dua tahun bagi pertuduhan ketiga, manakala pertuduhan keenam dan ketujuh masing-masing 18 bulan.
Kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 Mac lalu.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Osman Affendi menegur tindakan tertuduh yang sanggup meminjam wang daripada along sehingga terjerumus dalam jenayah.
“Kenapa kamu pinjam dengan along? Kamu masih muda untuk menjalani hukuman ini dan perjalanan hidup kamu masih jauh,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah wang tunai hasil jualan harian berjumlah RM32,102.60 milik sebuah kedai serbaneka di Taman Soga antara 21 hingga 27 Mac lalu.
Fakta kes menyatakan pengurus kedai mengesan kekurangan wang hasil perniagaan yang sepatutnya didepositkan ke bank sebelum siasatan mendapati tertuduh menggunakan wang itu untuk kegunaan peribadi termasuk membayar hutang along.
Ketika disoal, tertuduh mendakwa terpaksa berbuat demikian bagi melangsaikan hutang rakannya yang gagal membayar ansuran.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razak Shariff.


