Wanita keluar kata kesat, tumbuk muka anggota polis ditahan

POLIS  menahan seorang wanita kerana mengeluarkan kata-kata kesat dan menumbuk muka seorang anggota polis di Balai Polis Sungai Kob di Kulim, Kedah Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis Kulim, Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata kejadian berlaku kira-kira 3.30 petang ketika wanita berusia 34 tahun itu yang juga seorang peniaga datang ke balai polis tersebut.

Katanya, wanita itu kemudian melakukan provokasi dengan mengeluarkan perkataan kesat menghina polis, terhadap seorang anggota polis wanita, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, seorang anggota polis lelaki kemudiannya datang untuk menenangkan wanita itu, namun beliau ditumbuk suspek pada bahagian muka.

Menurutnya, wanita itu turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang lagi anggota polis sebelum menendang pintu kaunter aduan sehingga pecah.

“Berikutan itu, suspek ditahan pada hari sama untuk tindakan lanjut dan direman bermula semalam hingga esok bagi membantu siasatan,” katanya.

Tengku Mohd Faisal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, Seksyen 332 Kanun Keseksaan dan Seksyen 426 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah, manakala hasil ujian saringan awal air kencing mendapati wanita itu bebas dadah.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Whatapps Channel: UTUSAN MELAYU PLUS

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img