SEORANG penolong pengurus wanita berusia 55 tahun kerugian lebih RM1.3 juta selepas terpedaya dengan penipuan melalui panggilan telefon atau phone scam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa menerima panggilan mendakwa daripada syarikat penghantaran barang memaklumkan kononnya wanita itu menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang pada 11 Disember tahun lalu.
Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis.
Beliau berkata, suspek memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanan mangsa perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan menyebabkan mangsa berasa takut dan cemas.
“Mangsa turut diarahkan mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta wang pelaburan sebelum memasukkan wang kepada tiga akaun bank yang diberikan suspek.
“Mangsa membuat lima transaksi pemindahan wang kepada akaun terbabit dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januari lalu dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM1,313,210, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon disekat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


