Wanita kerugian RM371,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis

SEORANG wanita warga emas kerugian RM371,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan menerusi panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.

Mangsa, seorang peniaga berusia 67 tahun dari Teluk Intan itu membuat laporan polis setelah menyedari dia menjadi mangsa penipuan sindiket tersebut pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon pada 26 Oktober lalu daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri kononnya sebagai pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang bernama `Datuk Yoong’ dan mendakwa mangsa terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.

“Bagi tujuan siasatan, mangsa telah berurusan dengan pihak tersebut melalui aplikasi WhatsApp di tiga nombor telefon berbeza bermula dari 27 Oktober hingga 10 November.

“Mangsa telah diarahkan untuk memindahkan keseluruhan wang miliknya kepada empat institusi kewangan tempatan sebanyak RM371,000 bagi tujuan siasatan pihak polis dan wang mangsa akan dikembalikan setelah siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bakri berkata, mangsa juga telah dimaklumkan oleh `pegawai polis’ itu bahawa mereka akan datang berjumpa dengan mangsa untuk menyelesaikan kes melibatkan mangsa.

Menurut beliau, bagaimanapun mangsa telah mengesyaki dirinya telah ditipu kerana tiada pegawai polis yang datang berjumpa dengannya lalu mangsa bertindak membuat laporan polis.

Tambahnya, kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img